Ketumbuhan seberat 10 kilogram di bahu Watchara Nadee, 49. - Foto Facebook/BinFanClub
Ketumbuhan seberat 10 kilogram di bahu Watchara Nadee, 49. - Foto Facebook/BinFanClub
Agensi

Nakhon Sawan, Thailand: Sejak tahun lalu, seorang guru sebuah kolej teknikal di sini, tetap meneruskan tugasnya sebagai guru walaupun terpaksa membawa beban seberat 10 kilogram sepanjang masa - ketumbuhan pada lehernya yang semakin hari semakin membesar.

Guru itu, Watchara Nadee, 49, yang lebih senang dipanggil Kru Lek disahkan menghidap kanser pada bahunya tahun lalu, namun ketika itu ia tidak kelihatan serius.

Menurut Mirror, bahu itu mula membengkak dan semakin hari semakin besar sehingga mencapai berat 10 kilogram sekarang.

Kru Lek masih mengajar di Kolej Teknikal Nakhorn Sawan, kira-kira 200 kilometer di utara Bangkok, meskipun menghadapi masalah itu.

“Pelajar yang saya ada memberi semangat untuk saya terus berjuang,” katanya.

Berita mengenai Kru Lek disiarkan di media sosial oleh pengarah filem dan pelakon yang juga sukarelawan penyelamat Bin Bunluerit serta kembarnya Ekapun Bunluerit, tahun lalu.

Sebagai guru, kos perubatannya dilindungi insurans namun hanya sehingga 100,000 baht (RM12,722) setahun.

Rakannya, Monk Bhin, berkata: “Melihat keadaannya yang serius itu, saya rasa dia memerlukan insurans tiga kali ganda lebih besar.”

Gaji Kru Lek ialah 16,000 baht (RM2,035) sebulan dan menurut Bin, guru itu memerlukan kira-kira 300,000 baht (RM38, 000) setahun untuk rawatannya.

Kru Lek tidak mahu ibunya yang lumpuh berusia 71 tahun risau lalu dan sentiasa menutup ketumbuhan itu dengan kain apabila berjumpa ibunya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2017 @ 5:36 PM