PESERTA memulakan pendakian dengan menyusuri dinding gua serta bergantung pada tali yang dipasang untuk mengelak daripada jatuh di bahagian tepi cerun ketika menuju ke Gua Tagang.
PESERTA memulakan pendakian dengan menyusuri dinding gua serta bergantung pada tali yang dipasang untuk mengelak daripada jatuh di bahagian tepi cerun ketika menuju ke Gua Tagang.
PENEROKAAN ke Gua Tagang menguji ketahanan mental dan fizikal peserta kerana perlu melakukan abseiling pada jarak 70 meter sebelum sampai ke perut gua.
PENEROKAAN ke Gua Tagang menguji ketahanan mental dan fizikal peserta kerana perlu melakukan abseiling pada jarak 70 meter sebelum sampai ke perut gua.
KUMPULAN pendaki melihat sesuatu yang menarik perhatian mereka ketika meneroka Gua Tagang.
KUMPULAN pendaki melihat sesuatu yang menarik perhatian mereka ketika meneroka Gua Tagang.
Ainal Marhaton Abd Ghani


Sebut saja nama Kampung Merapoh di Lipis, Pahang, pasti terlintas di fikiran mengenai keunikan gua batu kapurnya yang mencecah usia ratusan juta tahun. Ia menyimpan khazanah berharga iaitu keindahan flora dan fauna yang masih terpelihara dengan baik.

‘Permata negara’ yang tidak ternilai itu sentiasa menjadi tumpuan mereka yang gemar melakukan aktiviti lasak meneroka gua untuk melihat ‘alam dalam kelam’ yang penuh dengan 1,001 kisah tersendiri dengan panorama yang sukar ditemui di tempat lain.

Gua batu kapur di Merapoh terbahagi kepada beberapa kategori seperti gua santai yang paling mudah untuk diteroka kerana laluan tidak terlalu mencabar dan gua yang memerlukan keupayaan fizikal kental untuk menjelajahinya.

Setiap gua mempunyai keindahan dan keunikan tersendiri. Antara gua yang terkenal dan kerap diteroka serta menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara ialah Gua Rimau, Gua Pasir Besar, Gua Kubang Rusa, Gua Katak dan Gua Tanah.

Jika Gua Padang Kawad yang turut dikenali sebagai Gua Hari Malaysia memerlukan peserta meniarap, membongkok, merangkak dan berenang sebelum memanjat menggunakan tali untuk menyeberang sungai dalam gua, pendaki Gua Tagang yang berkedudukan kira-kira tiga kilometer dari Gua Layang-layang pula diuji dengan cerun yang curam, mendaki bukit berliku selain bergantung pada tali ketika melakukan pendakian di lereng dan di dalam gua sebelum mencecah kaki di perut gua.

Kali ini penulis berkongsi kisah pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuhi ketika meneroka Gua Tagang iaitu antara gua paling mencabar ketahanan mental dan fizikal setiap peserta.

Aktiviti mendaki kebiasaannya dilakukan sebelah pagi jika ianya membabitkan kumpulan yang besar dan maksimum untuk ke Gua Tagang tidak lebih 40 peserta untuk mengelak memakan masa terlalu lama.

Jurupandu pelancong alam semula jadi, Mohd Shukri Jali yang terbabit secara langsung dengan aktiviti ‘menggua’ di Merapoh berkata, pendakian ke Gua Tagang bukan satu kerja mudah dan santai.

“Gua Tagang sesuai untuk individu yang lasak, memiliki ketahanan mental dan fizikal yang kuat serta sentiasa bersedia berdepan waktu kecemasan yang ‘bertamu’ tanpa diduga.

“Saya lebih suka membawa kumpulan kecil untuk memudahkan urusan pendakian kerana ia adalah pendakian yang menarik untuk melakukan aktiviti tali tinggi (climbing dan abseiling),” katanya yang ditemui ketika mengetuai cabaran meneroka gua berkenaan bersama sekumpulan pendaki dari England, Perancis, China dan Poland, baru-baru ini.

Aktiviti dimulakan dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda dari pejabat SGI Outdoor dan berhenti di kawasan berbatu sebelum berjalan kaki di kawasan lapang yang mengambil masa selama 10 minit ke kaki Gua Tagang.

Di situ, peserta melepaskan keletihan buat seketika sebelum memulakan pendakian pada jarak lebih kurang 100 meter sebelum menyusuri dinding gua sejauh 25 meter sambil memegang kemas tali keselamatan yang siap dipasang oleh krew SGI Outdoor.

Peserta perlu memakai peralatan tali tinggi yang lengkap seperti harness, belay device dan beberapa peralatan keselamatan lain.

Selepas selesai menyusur tali, peserta tiba di pintu gua tagang yang berada pada ketinggian 150 meter dan kira-kira 30 minit perjalanan dalam gua, peserta dapat melihat pelbagai formasi batu yang terbentuk berpandukan ‘head lamp’ masing-masing.

Peserta tidak melepaskan peluang merakam kenangan malah terpaku melihat keindahan dan keunikan bentuk batu-batuan yang dalam ‘pelbagai rupa bentuk’ dan ada yang ‘bersinar’ dengan begitu cantik sekali ketika disuluh.

Pada masa sama, kru SGI mula memasang tali untuk abseiling pertama selepas masuk di pintu gua dan turun sedalam lebih kurang 70 meter ke perut gua yang gelap dan bergantung kepada cahaya daripada lampu suluh kepala masing-masing.

Malah ketika melakukan abseiling, peserta dapat melihat formasi batu-batu dan hidupan seperti ular, kelawar dan labah-labah di kawasan perut gua.

Untuk keluar dari Gua Tagang, penulis sekali lagi berasa ‘kecut perut’ kerana perlu melakukan abseiling kedua pada jarak 30 meter sebelum berjalan keluar ke kenderaan mengikut rintis hutan sejauh 10 minit perjalanan.

‘Memang tak (tidak) datang dah lepas nie’ bisik hati kecil penulis sambil kaki melangkah mengikat badan pada tali keselamatan.

Mohd Shukri yang juga pengusaha syarikat pelancongan SGI Outdoor Merapoh Travel Sdn Bhd (SGI Outdoor) berkata, pendaki yang menggemari aktiviti lasak terutama mendaki gunung atau gua pasti teruja kerana turut berpeluang mengenali tumbuhan hutan.

Katanya, jika bernasib baik boleh terserempak dengan landak dan kambing gurun dalam perjalanan pergi dan balik dari Gua Tagang.

“Mungkin ramai menganggap ekspedisi gua satu aktiviti berisiko tinggi, tetapi sebenarnya nyata berbaloi apabila peserta berjaya merentasi semua halangan yang ada.

“Apa yang penting, utamakan keselamatan dan ikuti peraturan untuk mengelak kejadian tidak diingini,” katanya yang pernah berkerjasama dengan AWAN Adventure mengadakan program ‘2nd Malaysia Cavers Gathering’ di Merapoh baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2017 @ 10:36 AM