Rodly Fadly

Perceraian bukanlah sesuatu yang digalakkan dalam Islam walaupun dihalalkan kerana ia memberi pelbagai implikasi.

Lazimnya, mereka yang paling terkesan apabila berlaku perceraian ialah wanita.

Bukan saja mereka kehilangan tempat bergantung dan kasih sayang seorang suami, malah bebanan yang ditanggung selepas itu ternyata sangat berat.

Lazimnya wanita yang tidak bersedia untuk hidup sendiri akan menghadapi pelbagai implikasi akibat perceraian. Selain masalah kewangan, mereka menghadapi tekanan emosi yang ada kalanya boleh menjurus kepada kemurungan malah sakit jiwa.

Hakikat ini diakui Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia Cawangan Selangor Datuk Zaidi Mohd Zain. Berdasarkan kes yang dikendalikannya, golongan wanita sering teraniaya selepas berlaku perceraian.

“Ramai lelaki ‘cuci tangan’ selepas berlaku perceraian. Bagi mereka, apabila hubungan itu sudah tamat, mereka sudah bebas daripada sebarang tanggungjawab.

“Ada lelaki yang bersikap culas dalam soal pembahagian harta sepencarian malah soal bayaran edah juga kerap diambil ringan sehingga bekas isteri perlu naik turun mahkamah untuk mendapatkan haknya.

“Hal sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana dua perkara berkenaan memang wajib dilaksanakan apabila berlaku perceraian. Namun masih ramai yang berani melanggar hukum Allah Taala ini.

“Malah lelaki boleh membayar mutaah atau sagu hati kepada bekas isteri sebagai menghargai pengorbanan yang dilakukan sepanjang tempoh perkahwinan mereka. Ia dijadikan bekalan untuk meringankan beban bekas isteri bagi memulakan kehidupan baru,” ujar Zaidi.

Menurutnya, bebanan perceraian menjadi bertambah berat jika pasangan yang bercerai mempunyai zuriat apabila dua perkara pokok iaitu hak penjagaan dan nafkah anak-anak sering menimbulkan konflik.

“Jika anak masih belum mumayyiz iaitu bawah umur sembilan tahun bagi lelaki dan 11 tahun bagi perempuan, hak penjagaan memang diberikan kepada ibu kecuali atas sebab tertentu. Namun, konflik akan tercetus apabila kedua-dua pihak menuntut hak penjagaan ke atas anak yang sudah mumayyiz.

“Dalam hal ini, anak yang sudah mumayyiz diberikan hak untuk menentukan sama ada mahu mengikut bapa atau ibu. Oleh itu, walaupun ibu tidak reda, dia tidak boleh berbuat apa-apa selepas mahkamah membuat keputusan.

“Selain itu, hal berkaitan nafkah anak-anak juga sering diabaikan oleh bekas suami walaupun ia perkara wajib yang perlu dilaksanakan seorang bapa meskipun berlaku perceraian.

“Malah, ada lelaki yang memberi syarat kepada bekas isteri, jika dia (bekas isteri) mahu mendapatkan hak penjagaan ke atas anak-anak, dia tidak akan menuntut nafkah walaupun sesen.

“Lazimnya, seorang ibu tidak sanggup berpisah dengan anak-anak biar sesusah mana pun hidupnya. Demi anak, mereka sanggup mengikut apa saja syarat bekas suami.

“Kedua-dua situasi ini sudah cukup memberi tekanan kehidupan dan emosi kepada seorang wanita apabila berlaku perceraian,” ujarnya.

Selain itu, perceraian turut menjadi bebanan kepada wanita apabila dia kehilangan tempat bergantung terutama bagi wanita yang tidak berkerjaya.

“Bayangkan selama berumah tangga, dia tidak bekerja dan menjadi suri rumah. Hidupnya selama ini bergantung sepenuhnya kepada suami. Apa akan jadi apabila tiba-tiba berlaku perceraian?

“Jika bekas suami seorang yang bertanggungjawab, mungkin disediakan rumah untuk bekas isteri tinggal bersama anak-anak, juga kenderaan untuk kemudahan mereka. Lebih bagus jika diberikan sebahagian harta.

“Atau sepanjang perkahwinan, suami ada membuat simpanan untuk isteri yang boleh digunakan bagi meneruskan kehidupan sebagai janda dan ibu tunggal.

“Tetapi kalau bekas suami tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan diri sendiri, alamat teraniayalah hidup wanita yang diceraikan,” ujar Zaidi.

Tabung kecemasan

Oleh itu, Zaidi menyarankan setiap wanita perlu membuat persiapan fizikal dan mental bagi menghadapi kemungkinan berlakunya perceraian walaupun bukan itu yang mereka harapkan dalam sesebuah perkahwinan.

“Dalam sesebuah perkahwinan, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Kadang-kadang pasangan yang berpuluh tahun hidup bahagia sebagai suami isteri pun boleh bercerai.

“Ia bagaikan bom jangka yang sukar diramal bila akan meletup. Ia sama seperti kematian yang tiada sesiapa pun boleh meramalkan tarikhnya.

“Oleh itu, setiap pasangan terutama wanita perlu sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi kemungkinan ini. Sebagaimana kita membeli insurans kesihatan atau kematian, ia bukan bermakna kita mengharapkan diri kita sakit atau mati tapi lebih kepada persediaan jika ia berlaku.

“Begitu juga dengan perkahwinan. Apabila kita membuat persiapan bukan bermakna kita mengharapkan berlaku perceraian tapi kita perlu bersiap sedia untuk menghadapinya kerana kemungkinan berlaku tetap ada.

“Oleh itu, selain pelbagai insurans seperti insurans kesihatan, kematian serta kereta, wanita juga perlu ada ‘insurans perceraian’ sebagai persediaan. Bunyinya macam kelakar tapi hakikatnya ia amat penting untuk wanita,” katanya.

Menjelaskan maksud ‘insurans perceraian’, Zaidi berkata, setiap wanita perlu mempunyai wang tabungan atau harta yang boleh digunakan apabila berlaku perceraian.

“Contohnya, wanita perlu berjimat cermat ketika berbelanja. Pastikan mereka mempunyai wang simpanan. Kalau mereka berkerjaya, simpan sebanyak mungkin wang gaji terutama jika suami mampu menanggung keperluan hidup.

“Namun apa yang saya lihat, kebanyakan wanita berkerjaya suka hidup bermewah-mewah dan boros seolah-olah dunia ini mereka yang punya sehingga lupa beberapa kemungkinan yang bakal berlaku tanpa disangka termasuk perceraian.

“Begitu juga bagi wanita yang menjadi suri rumah sepenuh masa. Buatlah simpanan daripada wang perbelanjaan yang diberikan suami setiap bulan. Malah, jika suami berkemampuan, tidak salah meminta wang lebih untuk dibuat tabungan,” katanya.

Zaidi juga menyarankan isteri agar tidak segan untuk meminta sebahagian harta yang diusahakan suami seperti rumah, kenderaan dan aset lain dihadiahkan kepada mereka sepanjang perkahwinan sebagai ‘insurans perceraian’.

Di samping itu isteri perlu mempunyai akses kepada harta suami atau harta sepencarian kerana jika berlaku perceraian, ia memudahkan mereka untuk membuat tuntutan di mahkamah syariah.

“Dalam banyak kes, isteri gagal membuat tuntutan kerana tidak dapat mengemukakan bukti kepada mahkamah. Ini kerana mahkamah hanya boleh memutuskan keputusan sesuatu kes jika ada bukti.

“Paling penting, wanita perlu tahu hak mereka jika berlaku perceraian. Oleh itu, mereka harus ada sedikit ilmu. Tidak perlu yang terlalu lengkap, cukup sekadar asas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 11:44 AM