NEELOFA-Fattah dikhabarkan bakal berlakon dalam drama bersiri pada waktu terdekat.
NEELOFA-Fattah dikhabarkan bakal berlakon dalam drama bersiri pada waktu terdekat.
Rudy Imran Shamsudin


Selepas digandingkan dalam Suri Hati Mr Pilot, pasangan Neelofa dan Fattah Amin dikatakan bakal bertemu kembali dalam drama bersiri yang akan menjalani penggambaran dalam waktu terdekat.

Walaupun kini bukan lagi pasangan kekasih, sambutan hangat penonton terhadap drama itu membuatkan produser dan pengarahnya mahu menggandingkan mereka.

Tentunya kalangan peminat pasangan popular ini menantikan kemunculan mereka. Malah peminat kini giat melakukan kempen dengan mewujudkan ‘#lofattah’ agar bintang kesayangan mereka itu berganding semula.

Begitupun, sumber mendakwa impian sebahagian besar peminat Neelofa atau Lofa mahupun Fattah untuk membintangi drama terbaru terbitan dan juga arahan Michael Ang, Hero Seorang Cinderella tidak mungkin terlaksana atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Hero Seorang Cinderella diangkat daripada novel karya Anjell dan dijadualkan menjalani penggambaran 19 Mac ini. Ia dijadualkan untuk Astro Ria pada Ramadan nanti.

Lofa atau Noor Neelofa Mohd Noor ketika dihubungi bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu menegaskan, dia tidak boleh memberi sebarang kenyataan dan menyerahkan kepada pihak stesen mahupun produksi untuk membuat keputusan.

“Kurang manis untuk saya memberi kenyataan mengenainya dan pastinya pihak Astro sendiri akan membuat satu pengumuman mengenainya dalam waktu terdekat,” katanya.

Selebriti Metro Ahad cuba mendapatkan Michael kerana difahamkan pengarah dan penerbit itu sudah bertemu Neelofa dan Fattah bagi membincangkan perkara ini.

Michael ketika dihubungi mengatakan, perbincangan lanjut masih dilakukan dan buat masa ini belum ada keputusan diperoleh daripada kedua-dua pihak.

“Apapun keputusannya, ia bergantung penuh kepada saya sebagai penerbit dan pengarah. Buat masa ini, saya sendiri masih belum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai punca mengapa Lofa dan Fattah seperti tarik tali untuk menjayakan projek ini, kata Michael, daripada perbincangan awal kedua-duanya berasakan lebih baik mereka berehat buat sementara waktu dan tidak berlakon bersama.

“Terlalu banyak perkara yang berlaku kebelakangan ini membabitkan Lofa dan Fatah dan mungkin perkara itu membuatkan mereka tidak selesa untuk bekerja kembali bersama.

“Tambah pula ada pihak lain cuba memperkotak-katikkan mereka membabitkan isu yang timbul sama ada membabitkan kerjaya mahupun peribadi,” katanya.

Begitupun kata Michael, kerana mahu mengejar masa, keputusan akan dibuat dalam masa terdekat sama ada mereka boleh berlakon bersama ataupun tidak.

“Saya masih cuba memujuk mereka. Kalau tidak, saya akan paksa agar perkara ini terjadi. Kalau segala usaha untuk menemukan mereka gagal, sebagai pengarah dan penerbit saya sudah bersedia dengan perancangan lain,” katanya.

Jelas Michael, Astro juga sudah tentu mengharapkan kedua-dua bintang utama Suri Hati Mr Pilot ini dapat dipertemukan kerana mereka pernah menimbulkan fenomena tahun lalu.

Katanya, Astro juga meletakkan harapan cukup besar agar drama Hero Seorang Cinderella ini boleh mengulangi kehangatan Suri Hati Mr Pilot.

“Begitupun, saya melihatnya dari sudut berbeza. Mengambil contoh ledakan bom. Kuatnya letupan itu hanya sekali dan letupan kedua mungkin sudah berkurang.

“Kita tidak tahu andai Lofa mahupun Fattah digandingkan dengan pelakon lain, ia boleh mencipta ledakan yang lebih besar. Siapa tahu,” katanya.

Namun janji Michael, siapa pun yang bakal membintangi drama Hero Seorang Cinderella itu nanti, sebagai penerbit dan juga pengarah sudah tentu dia akan memberikan yang terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 5:04 AM