Sebahagian pelancong yang terkandas di Pulau Tioman. FOTO ihsan pembaca
Sebahagian pelancong yang terkandas di Pulau Tioman. FOTO ihsan pembaca
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Rompin: Kira-kira 500 pelancong terkandas di Pulau Tioman berikutan cuaca buruk serta ombak besar sejak kelmarin.

Amaran angin kencang dan laut bergelora dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia dijangka berlarutan sehingga Jumaat ini.

Pengurus Operasi Bluewater Express Mohammad Syafiq Farhan berkata, perkhidmatan feri pihaknya juga terpaksa dihentikan sementara sehingga keadaan cuaca bertambah baik.

Katanya, keadaan ombak besar serta angin kencang menyebabkan kapten feri tidak mahu mengambil risiko untuk menghantar dan mengambil pelancong di pulau berkenaan.

"Kami menerima banyak aduan serta rungutan daripada pelancong yang mahu kami meneruskan perkhidmatan (feri) tapi kami tidak mahu mengambil risiko kerana ia membabitkan isu keselamatan dan nyawa penumpang.

"Difahamkan Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran sehingga Jumaat ini namun kami akan kembali beroperasi semula jika keadaan cuaca bertambah baik," katanya ketika dihubungi di sini.

Bluewater Express yang berpangkalan di Mersing, Rompin mempunyai sembilan feri yang setiap satunya mampu memuatkan kira-kira 200 penumpang.

Mohammad Syafiq berkata, kejadian sama pernah berlaku ketika perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini yang membabitkan kira-kira 400 pelancong.

Sementara itu, pelancong, Abdul Ifwad Mohamad Ruslee, 27, berkata, dia tiba di pulau peranginan berkenaan Sabtu lalu untuk bercuti bersama isteri serta anaknya.

Katanya, ketika bertolak dari Jeti Mersing pada Sabtu lalu, dia tidak dimaklumkan mengenai keadaan itu oleh pengendali feri.

"Apabila tiba di sini (Pulau Tioman) barulah saya diberitahu oleh pelancong lain yang keadaan laut bergelora sudah berlaku sejak Jumaat lalu.

"Saya agak kesal kerana pihak (pengendali) feri tidak memaklumkan mengenai keadaan ini lebih awal. Jika saya tahu, saya tidak akan ambil risiko ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 11:40 AM