SAPUAN gincu rona gelap mengubah penampilan segar kepada glamor untuk menghadiri majlis pada waktu malam.
SAPUAN gincu rona gelap mengubah penampilan segar kepada glamor untuk menghadiri majlis pada waktu malam.
1. WAJAH sebelum disolek.
1. WAJAH sebelum disolek.
2. SAPU rata primer di seluruh kelopak mata.
2. SAPU rata primer di seluruh kelopak mata.
3. MULAKAN solekan dengan menyapu rata bedak asas.
3. MULAKAN solekan dengan menyapu rata bedak asas.
4. GABUNGKAN dua rona coklat lembut untuk bahagian kelopak mata. Tambah pembayang mata jenis berkilat di tengah kelopak mata untuk individu yang memiliki bentuk mata ke dalam.
4. GABUNGKAN dua rona coklat lembut untuk bahagian kelopak mata. Tambah pembayang mata jenis berkilat di tengah kelopak mata untuk individu yang memiliki bentuk mata ke dalam.
5. LENTIKKAN bulu mata menggunakan maskara.
5. LENTIKKAN bulu mata menggunakan maskara.
6. TUTUP cela pada kulit wajah dengan penyamar noda.
6. TUTUP cela pada kulit wajah dengan penyamar noda.
7. BENTUK wajah sempurna di bahagian hidung dan tulang pipi.
7. BENTUK wajah sempurna di bahagian hidung dan tulang pipi.
8. SELEPAS layangkan bedak tabur, bentukkan kening menggunakan rona coklat untuk tampak semula jadi.
8. SELEPAS layangkan bedak tabur, bentukkan kening menggunakan rona coklat untuk tampak semula jadi.
9. TAMBAH olesan pemerah pipi sebagai penyeri wajah.
9. TAMBAH olesan pemerah pipi sebagai penyeri wajah.
10. SAPU rata gincu rona lembut.
10. SAPU rata gincu rona lembut.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Wajah tanpa olesan mekap tampak sedikit pucat. Ia memberi gambaran seolah-olah individu berkenaan menderita akibat penyakit atau mengalami masalah yang tidak dapat diselesaikan.

Wajah yang kelihatan kurang bermaya juga membentuk pandangan pertama yang kurang baik daripada rakan sekeliling. Justeru, solekan memainkan peranan penting untuk menjadikan penampilan wajah lebih segar dan bertenaga walaupun dengan hanya olesan mekap ringan.

Jurusolek artis, Rita Kusuma Dewi Abdur Rahman berkata, solekan yang kelihatan seperti semula jadi sangat sesuai bagi individu yang baru berjinak-jinak mengenakan mekap.

"Solekan seperti ini mampu membuatkan wajah tampak lebih segar untuk menjalani tugasan harian dengan penuh bersemangat. Penggunaan maskara, pemerah pipi dan gincu penting untuk mendapatkan kesan semula jadi pada wajah.

"Namun, pilihan warna sesuai yang digunakan ialah rona pastel atau lembut untuk mengelakkan penampilan kelihatan berlebihan untuk ke pejabat atau beriadah bersama teman," katanya.

Tambahnya, pemilihan rona gincu bergantung kepada pigmen bibir individu itu. Jika memiliki pigmen bibir yang gelap, sebaiknya gunakan bedak asas untuk menutup warna asal bibir sebelum mengenakan gincu.

Ini kerana warna bibir yang gelap akan mengubah rona gincu yang dipakai, sekali gus menyebabkan penampilan bibir tidak kena dengan gaya yang diinginkan.

Selain bedak asas, gunakan penggaris bibir jenis matte (tidak berkilat) dengan warna cerah bagi mengimbangkan pigmen bibir.

"Lebih penting, alat solek jenis matte lebih sesuai digunakan bagi mendapatkan kesan solekan semula jadi.

"Jika mahu menggunakan alat solek jenis berkilat, elakkan olesan berlebihan. Untuk solekan bahagian mata, pilihan pembayang mata rona coklat paling terang atau oren lembut yang seakan-akan warna kulit lebih sesuai.

"Solekan yang kelihatan seperti semula jadi ini tidak memerlukan pemakaian celak di garisan mata atas dan bawah. Namun, penggunaan celak rona putih boleh disapu di bahagian garisan bawah mata untuk menonjolkan kesan mata yang galak dan segar," katanya.

Tambahnya, mulakan dengan sapuan primer tidak berwarna di seluruh bahagian kelopak mata untuk memastikan olesan pembayang mata tahan lebih lama.

Bagi pemilik mata yang agak dalam, tambah sedikit pembayang mata jenis berkilat di bahagian tengah kelopak mata dan adunkan hingga rata.

Sementara itu, bagi individu yang memiliki kulit bermasalah, gunakan penyamar noda rona sama dengan kulit untuk menutup cela yang terdapat pada wajah agar wajah tampak halus dan gebu.

"Solekan yang kelihatan seperti semula jadi itu boleh diubah kepada gaya glamor untuk ke parti atau majlis makan malam selepas waktu bekerja. Caranya mudah iaitu dengan menukar rona lebih terang pada bahagian bibir saja.

"Kebiasaannya, untuk penampilan glamor di majlis tema tertentu, solekan bahagian mata dan bibir perlu diberi perhatian dengan penggunaan rona trend semasa," katanya.

Pilihan rona gincu untuk musim sejuk yang boleh dicuba ialah warna gelap seperti ungu gelap dan merah yang pasti membuatkan penampilan tampak bertenaga pada malam hari.

Sebelum mengenakan gincu rona berlainan, buang atau tutup gincu yang dipakai sebelum ini menggunakan penyamar noda. Solekan yang digayakan pada siang hari boleh ditambah dengan bedak tabur sebagai sentuhan akhir sebelum menghadiri majlis lain.

Namun, perlu diingat rutin wajib sebelum mengenakan mekap dengan memakai penyegar dan pelembap wajah sebagai perlindungan bagi individu yang memiliki kulit sensitif.

Rita Kusuma Dewi yang memberi khidmat solekan untuk majlis makan malam, komersial, pertunjukan fesyen dan majlis perkahwinan banyak menggunakan produk mekap jenama Jane Iredale yang diperbuat daripada batu mineral.

Ia tidak mengandungi alkohol, minyak mineral, pewangi dan paraben, sekali gus dipilih sebagai produk kegemaran yang banyak digunakan jurusolek artis ini ketika menyempurnakan penampilan pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 5:05 AM