Kuala Lumpur: Kejohanan Jemputan Torneo Delle Nazzioni di Gradisca, Itali akan menjadi persiapan terakhir skuad utama Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) sebelum menyertai pusingan Kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 16 (B-16) tahun, September ini.

Menyedari tiket ke Piala Dunia Remaja B-17 2019 hanya diberikan kepada empat pasukan terbaik Kejohanan AFC itu nanti, Ketua Eksekutif PPBN Safirul Azli Abu Bakar (gambar) menyifatkan kunjungan ke Itali pada 24 April hingga 1 Mei nanti akan menjadi medan terbaik bagi menilai potensi pemain kerana turut disertai beberapa negara terkuat dunia.

“Kejohanan itu akan disertai 12 pasukan, membabitkan skuad kebangsaan B-15 tahun Itali, Mexico, Portugal, England, Republik Czech dan Jepun.

“Saingan itu amat berprestij dan kita beruntung apabila dijemput penganjur selepas Brazil menarik diri pada saat akhir.

“Kejohanan itu sangat penting kerana di situ mereka akan mengetahui kelemahan dan kekuatan pasukan sebelum berentap di pusingan kelayakan Kejohanan AFC,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

PPBN yang diilhamkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada 2013 lalu menetapkan sasaran layak ke Piala Dunia Remaja sebagai permulaan kepada kebangkitan bola sepak Malaysia.

Pengarah Projek PPBN Lim Teong Kim yang menghadiahkan kejuaraan Piala Supermokh, Disember lalu selepas menundukkan kelab terkemuka Portugal, Sporting CP 1-0 akan membawa skuad terbaik ke kejohanan itu nanti.

Ditanya mengenai peluang Malaysia membuat kejutan seperti mana ketika menjuarai Piala Iber di Sepanyol dua tahun lalu, Safirul menegaskan sasaran mereka adalah cuba melepasi peringkat kumpulan terlebih dulu sebelum memikirkan perancangan berikutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2017 @ 5:10 AM