Antara PATI yang berjaya ditahan APMM Kudat. FOTO ihsan APMM
Antara PATI yang berjaya ditahan APMM Kudat. FOTO ihsan APMM
Mohd Ruzaini Zulkepli


Kudat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat menahan 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menyelinap masuk menggunakan sebuah bot pancing di perairan Tanjung Berungus, dekat sini, jam 1 pagi semalam.

Pengarah Maritim Daerah Kudat Leftenan Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, semua PATI itu datang dari Pulau Cagayan, Filipina.

"Hasil maklumat yang diperoleh menggunakan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah, kami mengesan sebuah bot mencurigakan dari Pulau Cagayan menuju ke perairan daerah ini.

"Kami berjaya menahan bot itu di perairan Tanjung Berungus, di sini, dan hasil pemeriksaan mendapati ada 17 warga Filipina termasuk tekong bot yang disyaki tidak mempunyai sebarang dokumen sah cuba masuk ke Kudat," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua PATI yang berusia antara enam hingga 51 tahun itu diserahkan kepada Unit Siasatan APMM Kudat sebelum diambil tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Akta Penyeludupan Migran 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 4:27 PM