Mohamad Fitri (dua dari kiri) bersama pegawai menunjukkan bebola ikan yang dirampas susulan aduan orang ramai mengenai bungkusan yang berbeza dan tidak mengikuti spesifikasi pelabelan. FOTO Shahrul Hafiz Zam
Mohamad Fitri (dua dari kiri) bersama pegawai menunjukkan bebola ikan yang dirampas susulan aduan orang ramai mengenai bungkusan yang berbeza dan tidak mengikuti spesifikasi pelabelan. FOTO Shahrul Hafiz Zam
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) merampas 204 paket bebola ikan dari kilang di Jalan Gangsa, Mergong, di sini, kerana tidak mengikut spesifikasi pelabelan pembungkusan ditetapkan kementerian.

Pengarahnya, Mohamad Fitri Hassan berkata, tindakan itu dibuat selepas syarikat itu menggunakan dua label nama bagi satu produk bebola ikan hingga mengelirukan pengguna beragama Islam minggu lalu.

Katanya, menerusi operasi bersepadu disertai 24 anggota daripada Bahagian Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) negeri serta Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah jam 2 petang tadi, premis terbabit turut disita kerana terlalu kotor.

"Pihak kami mendapati kilang terbabit tidak mempamerkan jumlah berat atau kuantiti bebola ikan selain tidak tertulis pekilang, pengimport atau pengeluar.

"Di label berkenaan hanya ditulis nama dan alamat kilang, ia kesalahan mengikut Perkara 3 (1)(b) Perintah Kawalan Harga (Pelabelan oleh Pekilang, Pengimport, Pengeluar atau Penjual Borong) 1980.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda mengikut Seksyen 57 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 iaitu denda maksimum RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan dan tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya bagi orang perseorangan,” katanya semasa sidang media di Pejabat PPDNKK, di sini, hari ini.

Mohamad Fitri berkata, pihaknya turut mengambil keterangan empat pekerja termasuk pemilik kilang berusia 40 hingga 50 tahun untuk membantu siasatan.

Katanya, kilang yang beroperasi sejak lapan tahun lalu itu diarah ditutup selama 14 hari oleh KKM untuk sesi pembersihan.

"Bebola ikan ini dijual di Kedah dan Perlis mengikut permintaan dan kami juga dapati label bungkusannya tidak ada tanda halal kerana pihak kilang memang tidak pernah memohon sijil halal.

"Nasihat kami, pengguna beragama Islam mesti peka dengan keperluan masing-masing dan buatlah pilihan dengan produk makanan yang ada tanda halal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 6:47 PM