Keadaan M Ishak yang kini dirawat di Hospital Tan Tock Seng, Singapura. FOTO MI
Keadaan M Ishak yang kini dirawat di Hospital Tan Tock Seng, Singapura. FOTO MI
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi popular era 1960-an M Ishak, 72, dimasukkan ke Hospital Tan Tock Seng, Singapura akibat barah paru-paru, kelmarin.

Ishak atau nama sebenarnya Mohamed Ishak Shaik Mohamed yang popular dengan lagu Yale Yale kini berada dalam keadaan stabil dengan pemantauan doktor.

Anak sulungnya Mohd Nazaruddin, 43, yang dihubungi di Singapura berkata, mereka kini menunggu proses imbasan otak bagi mengetahui keadaan sebenar bapanya.

"Bapa memang sudah menghidap barah paru-paru dan pernah dimasukkan ke hospital sama sebelum ini. Bagaimanapun, barah itu sekarang sudah merebak ke tekak pula. Imbasan otak dibuat bagi memastikan barah itu tidak merebak ke otak," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nazaruddin, sebelum ini Ishak pernah dirawat di hospital berkenaan selama seminggu selepas mengadu sakit tekak.

Selepas dibenarkan keluar, keadaan Ishak bertambah baik dan kembali aktif menerima undangan nyanyian.

Bagaimanapun, selepas pulang dari mengadakan persembahan di Kajang pada 31 Disember lalu, Ishak mengadu tekaknya kembali sakit.

Namun, Ishak hanya dimasukkan ke hospital berkenaan kelmarin.

Nazaruddin berkata, kesan kesakitan yang dialami dan kesukaran untuk makan menyebabkan bapanya kurang bergerak aktif dan hanya terlantar di katil sepanjang masa.

"Buat masa ini doktor hanya memberikan ubat. Bapa sebenarnya sedar tapi lebih banyak tidur kerana keletihan.

"Berat badannnya juga semakin susut dan sangat berbeza berbanding ketika dia aktif bergerak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 6:06 PM