MODEL rumah projek Harmoni 1 yang menggunakan konsep D3.
MODEL rumah projek Harmoni 1 yang menggunakan konsep D3.
Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) muncul pemaju hartanah pertama menggunakan sistem pembinaan fleksibel, Divergent Dwelling Design (D3) menerusi projek Harmoni 1, Elmina West, Shah Alam yang akan dibangunkan pada suku ketiga tahun ini.

Pengarah Urusan Sime Darby Property, Datuk Jauhari Hamidi berkata, pembangunan konsep berkenaan hasil kerjasama pihaknya dengan Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (Cream).

Katanya, konsep D3 adalah inovasi dalam sistem pembinaan kediaman mampu milik merangkumi penggunaan teknologi dan reka bentuk yang dipertingkatkan secara holistik.

Beliau berkata, syarikat akan menyiapkan dua rumah prototaip dengan konsep D3 pada pertengahan tahun ini sebelum meneruskan projek sebenar pada suku ketiga.

Menurutnya, projek kediaman yang menggunakan konsep D3 turut menggunakan sistem bangunan berindustri (IBS) yang lebih tinggi sekitar 50 hingga 70 peratus dalam sesuatu projek kediaman mampu milik berbanding antara 25 hingga 30 peratus dalam pembinaan konvensional.

“Sejak 10 tahun lalu, Sime Darby Property membangunkan 8,000 unit kediaman mampu milik dan dengan adanya inovasi D3, ia membantu syarikat membina sekitar 1,000 hingga 2,000 unit kediaman mampu milik berkualiti tinggi dalam tahun kewangan 2017.

“Penggunaan sistem D3 juga membantu syarikat mengurangkan tempoh pembinaan, misalnya bagi kediaman strata mengambil masa sehingga 36 bulan dan dengan menggunakan inovasi ini, ia boleh dikurangkan kepada 24 bulan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara Sime Darby Property dan Cream di sini, baru-baru ini.

Projek kediaman Harmoni 1 mempunyai 562 unit kediaman dengan saiz antara 900 hingga 1,000 kaki persegi serta mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM155 juta.

Bagi memperkenalkan konsep D3 dalam projek kediaman itu, Sime Darby Property bercadang untuk membangunkan rumah contoh yang dijangka siap pertengahan tahun ini bagi membolehkan orang ramai melihat serta memahami konsep inovasi terbaru itu.

Jauhari berkata, Harmoni 1 adalah projek kediaman mampu milik yang dilaksanakan Lembaga Hartanah Selangor (LHS) dan Sime Darby Property sebagai pemaju.

Pengerusi Cream, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali berkata, konsep D3 membolehkan negara menyelesaikan isu perumahan mampu milik dan peralihan ke arah perumahan berkualiti tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2017 @ 5:09 AM