Tan Sri Khalid Abu Bakar

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pembaca budiman. Jika sebelum ini saya berbicara mengenai kecemerlangan yang direkodkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) sepanjang 2016, minggu ini saya ingin berkongsi pula mengenai kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pada tahun lalu.

Sepanjang tempoh Januari sehingga Disember 2016, seramai 200,706 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah. Jumlah tangkapan ini meningkat 10 peratus berbanding tangkapan 182,787 orang pada tempoh sama 2015. Seramai 21,184 orang daripada jumlah tangkapan itu pengedar dan pengedar dadah kecil-kecilan serta penanam pokok ganja di bawah kategori mengurangkan bekalan. Manakala 51,491 orang ditangkap kerana kesalahan memiliki dadah dan 128,031 tangkapan lagi kerana positif saringan urin.

Rampasan dadah

JSJN merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM188.97 juta sepanjang tahun lalu. Nilai rampasan ini merosot 21 peratus berbanding rampasan bernilai RM238.87 juta pada 2015. Walaupun rampasan meningkat, nilainya merosot disebabkan kejatuhan nilai harga dadah semasa.

Tindakan pencegahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985

Dalam usaha membanteras kemasukan bekalan dadah, JSJN turut mengambil tindakan ke atas individu yang terbabit sebagai dalang kegiatan pengedaran dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985. Sepanjang 2016, seramai 1,015 orang diambil tindakan pencegahan di bawah Akta itu. Jumlah tangkapan ini meningkat 19 peratus berbanding 854 tangkapan pada tempoh masa sama 2015.

Tindakan penyitaan harta di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988

Bagi melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah, JSJN mengambil tindakan penyitaan harta di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 ke atas pelbagai harta hasil daripada kegiatan pengedaran dadah. Dalam tempoh kajian, JSJN membuka 4,338 kertas siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988. Hasil dari siasatan yang dijalankan, JSJN menyita pelbagai harta yang dianggarkan bernilai RM99.39 juta. Nilai sitaan ini meningkat sebanyak 35 peratus berbanding tempoh masa yang sama 2015 dengan sitaan bernilai RM73.40 juta.

Bagi tempoh yang sama, sejumlah RM15.13 juta harta dilucuthak kepada kerajaan berbanding harta bernilai RM10.17 juta, meningkat 49 peratus bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Pembongkaran makmal haram memproses dadah

Sepanjang 2016, JSJN membongkar 26 makmal haram memproses dadah dengan 130 orang tangkapan. Jumlah tangkapan tersebut meningkat 2 peratus berbanding 127 orang pada tempoh sama 2015. Daripada jumlah makmal yang dibongkar, pecahannya adalah 15 makmal memproses syabu, 5 heroin, 5 ekstasi dan 1 ketamin.

Rampas senjata api

Dalam usaha membanteras sindiket pengedaran dadah, JSJN turut berdepan ancaman kerana sindiket menggunakan senjata api untuk melindungi kepentingan dan kegiatan mereka. Sepanjang 2016, JSJN menangkap 206 orang yang terlibat dalam pemilikan senjata api. Jumlah tersebut meningkat 43 peratus berbanding 144 orang pada masa sama 2015.

Siasatan dan pendakwaan

JSJN juga menjalankan siasatan dan pendakwaan terhadap orang ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah. Sepanjang 2016, sebanyak 135,677 kertas siasatan dibuka. Daripada kertas siasatan yang dibuka sebanyak 94,516 kertas siasatan berjaya dituduh dengan kadar pertuduhan sebanyak 70 peratus.

Kes menarik 2016

Pada 17 Januari 2016, JSJN Bukit Aman melancarkan ‘Ops Sapphire’ dengan kerjasama Cawangan Khas, Pasukan Khas Siasatan Bersepadu Bukit Aman serta Badan Narcotika Nasional (BNN) Indonesia dan berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah serta membongkar sebuah makmal haram memproses dadah di Mantin, Negeri Sembilan, Sungai Pelek, Puchong dan Kuala Kubu Bharu, Selangor. Seramai 8 orang lelaki dan 2 orang perempuan Cina bersama seorang lelaki India ditangkap serta merampas 135kg cecair syabu, 10.9kg kristal syabu, 25kg serbuk ekstasi, 3,700 pil ekstasi dan 5kg ephederine bernilai RM14.3 juta. Polis turut merampas 3 pistol, 1 laras senapang angin dan sebutir bom.

Antara 20 hingga 23 Februari 2016, JSJN Bukit Aman melancarkan ‘Ops River Shark’ di Rantau Panjang, Kelantan, dan berjaya menangkap 6 orang lelaki dan 2 orang perempuan Melayu serta merampas 414,000 pil yaba yang dianggarkan bernilai RM8.3 juta.

Pada 12 Mac 2016, STING JSJN Bukit Aman melancarkan ‘Ops Stargarnet’ dengan membuat serbuan di Subang Jaya dan menangkap seorang lelaki Melayu serta merampas 355kg ganja. Lanjutan daripada itu, serbuan lanjut yang dibuat di Sungai Petani, Kedah menghasilkan rampasan 843.32 kilogram ganja. Jumlah rampasan keseluruhan ialah 1,198.32 kilogram yang dianggarkan bernilai RM2.9 juta.

Pada 19 April 2016, STING bersama JSJN Bukit Aman melancarkan ‘Ops Chrystal’ yang berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah serta membongkar 2 makmal haram memproses dadah di sekitar Shah Alam, Selangor. Seramai 10 orang lelaki India ditangkap dengan rampasan 13.3kg syabu, 752.27kg cecair syabu, 150 biji pil Eramin 5, sepucuk pistol dan 38 butir peluru. Susulan daripada operasi tersebut, STING dan JSJN Bukit Aman menangkap seorang pegawai dan 5 orang anggota PDRM serta seorang lelaki Melayu berkaitan kes tersebut. Rampasan dadah dianggarkan bernilai RM36 juta.

Antara 6 hingga 7 Disember 2016, JSJN bersama STING melancarkan ‘Ops Moonfish’ dengan membuat 4 serbuan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Klang, Selangor serta membongkar makmal haram memproses dadah syabu dan stor penyimpanan dadah. Seramai 2 orang lelaki Cina dan seorang lelaki Melayu ditangkap dengan rampasan ketamin (210kg), Eramin 5 (9,500 biji), ekstasi (6,510 biji), cecair syabu (5.8kg), serbuk ekstasi (0.9kg), syabu (0.2kg), pelbagai bahan kimia serta peralatan memproses dadah (22.3kg). Rampasan dadah dianggarkan bernilai RM15.5 juta.

Strategi kejayaan

Kejayaan JSJN dalam memerangi dadah adalah disebabkan strategi yang disusun kemas serta kemampuan jabatan tersebut mendapatkan risikan yang berkualiti. Selain mempergiatkan tindakan penguatkuasaan oleh Special Tactical Intelligence Narcotics Group (STING) untuk membanteras ‘drug kingpin’ serta sindiket pengedaran dadah berskala besar, jaringan kerjasama di peringkat antarabangsa dan tempatan dalam berkongsi maklumat risikan serta menjalankan operasi bersama turut dipertingkatkan. Unit Risikan Sempadan diperkasakan dengan menubuhkan dua unit baru di Rantau Panjang, Kelantan dan Pengkalan Hulu, Perak. Selain itu, kekuatan pegawai dan anggota turut ditambah di unit sedia ada di Jitra, Kedah. Tindakan penguatkuasaan dan pemantauan di sempadan diperkasakan lagi dengan menempatkan Unit Teknikal Imbasan Kenderaan (UTIK). Selain itu, tindakan pencegahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 turut diambil ke atas ‘drug kingpin’ dan individu yang menjadi dalang kegiatan pengedaran dadah. Malah, JSJK berjaya melumpuhkan sumber kewangan individu atau sindiket pengedaran dadah melalui penyitaan harta di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

Saya yakin JSJN akan terus cemerlang dalam usahanya memerangi dadah yang merupakan musuh utama negara. Melalui ‘War Againts Drugs’, JSJN akan terus komited dalam usahanya memelihara kesejahteraan dan kepentingan rakyat negara yang tercinta ini.

Penulis Ketua Polis Negara

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2017 @ 1:26 AM