Kuala Lumpur: Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), menawarkan dana kecemasan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat musibah banjir di beberapa negeri seluruh Malaysia.

MIDF berkata, program pinjaman khas dikenali Dana Kecemasan PKS itu bertujuan membantu PKS terjejas akibat bencana itu, terutama dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Menurut kenyataannya di sini semalam, MIDF berkata jumlah pinjaman yang ditawarkan adalah dari RM50,000 sehingga RM100,000 dengan kadar faedah rendah iaitu tiga peratus setahun.

“Ia menawarkan tempoh bayaran balik sehingga lima tahun dengan pembiayaan sehingga 90 peratus daripada kos yang diperlukan oleh PKS.

“Dana berkenaan ditubuhkan bagi membantu perniagaan PKS yang terjejas teruk akibat bencana alam seperti banjir, ribut, kemarau, hakisan pantai dan tanah runtuh,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, dana kecemasan PKS itu menyediakan pinjaman mudah untuk pembiayaan pembelian mesin dan peralatan, pembiayaan kos membaik pulih premis perniagaan, serta keperluan modal kerja seperti pembelian bahan mentah.

PKS yang beroperasi di kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu menyediakan bukti bencana alam melalui surat yang dikeluarkan pejabat daerah ataupun salinan laporan polis untuk memohon pinjaman di bawah dana kecemasan itu.

Antara kelayakan bagi pemohon Dana Kecemasan itu adalah PKS yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 atau Ordinan Pendaftaran Perniagaan 1956.

MIDF berkata, pemohon dana juga harus mempunyai lesen premis sah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dan PKS yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai dana khas ini dengan melayari laman web MIDF di www.midf.com.my.

Sebarang pertanyaan juga boleh dihantar menerusi e-mel kepada [email protected] atau menghubungi Jabatan Jualan ibu pejabat MIDF di 03-2173 8888.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 8:45 AM