RUMAHpenduduk di Kampung Bukit Tunggal Jementah Segamat mulai di naiki selepas hujan lebat berterusan. FOTO  Ahmad Ismail
RUMAHpenduduk di Kampung Bukit Tunggal Jementah Segamat mulai di naiki selepas hujan lebat berterusan. FOTO Ahmad Ismail
Ibrahim Isa dan Ahmad Ismail

Segamat: Jumlah mangsa banjir bertambah di Johor dan satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, malam tadi.

Sehingga 12 tengah malam tadi, 270 mangsa banjir dipindahkan ke enam PPS dengan pusat terbaru dibuka di Balai Raya Kampung Melepang, Tangkak, dengan empat mangsa daripada satu keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, lima PPS lain yang dibuka sebelum ini termasuk Balai Raya Kampung Melayu Raya, Pogoh; Dewan Serbaguna Kampung Bukit Tunggal, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ai Chun Tenang Stesen, Balai Raya Kampung Gelang Chincing dan Dewan Raya Kampung Air Putih, Johor Bahru.

Katanya, jumlah mangsa banjir di SJKC Ai Chun Tenang Stesen bertambah dan kini menempatkan 34 keluarga membabitkan 167 mangsa dari Kampung Lembah Bakti.

Mangsa banjir di Dewan Serbaguna Kampung Bukit Tunggal juga meningkat dengan lapan keluarga membabitkan 25 mangsa.

Sementara itu, Pusat Pemindahan banjir di Balai Raya Kampung Melayu Raya, Pogoh, yang dibuka pada 10 malam tadi masih menempatkan 11 orang daripada satu keluarga.

Menurutnya, pusat pemindahan banjir di Dewan Kampung Chinchin menempatkan 13 mangsa daripada tiga keluarga manakala pusat pemindahan banjir di Kampung Air Putih, Johor Bahru, menempatkan 50 mangsa dari Kampung Paya Ulu Tiram.

Hujan lebat berterusan menyebabkan Sungai Segamat di Batu Badak; Sungai Juaseh di Labis dan Sungai Tiram melimpah.

Katanya, hujan lebat dijangka berterusan sehingga esok di Segamat, Tangkak, Johor Bahru, Kota Tinggi, Mersing, Kluang dan Batu Pahat.

"Semua pusat pemindahan banjir sudah bersiap sedia dan pesukan keselamatan akan memindahkan mangsa apabila keadaan memerlukan.

"Berikutan itu, kami berharap orang ramai akan memberikan kerjasama dengan mengikut arahan diberikan," katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 1:23 AM