Ridhatul Rizki


Kuala Lumpur: Selepas seminggu dilancarkan, aplikasi permainan mudah alih J Revolusi sudah mencecah 12,000 muat turun di Apple App Store dan Google Play Store.

Malah, ia turut tersenarai dalam kategori 'New Games We Love' oleh Apple Store.

Pengurus Besar Kanan Kumpulan Media Prima Labs & Operasi, Nicholas Sagau berkata, Media Prima Labs berbangga diberi pengiktirafan sebegitu oleh Apple Store.

"Bukan mudah untuk aplikasi tempatan khususnya mendapat pengiktirafan sedemikian tetapi kejayaan awal ini membuktikan aplikasi J Revolusi sudah mula mendapat tempat di hati ‘gamer’ tanah air," katanya.

Tambah Nicholas, sambutan daripada peminat terhadap aplikasi permainan ini sekaligus meletakkan tanda aras bagi aplikasi permainan tempatan.

"Peminat aplikasi permainan seringkali membandingkan aplikasi tempatan dengan luar negara. Tapi J Revolusi berjaya memberi nafas baru dan diharap ia dapat menjadi penanda aras bagi industri aplikasi permainan tempatan," katanya.

Aplikasi J Revolusi diilhamkan daripada filem J Revolusi lakonan Zul Ariffin dan Izara Aishah.

Hampir setiap elemen daripada filem itu diadaptasi ke dalam aplikasi ini termasuk watak utama Eddie dan Jay yang bertugas di dalam Skuad Khas Elit Malaysia. Malah, Zul dan Izara turut menyumbangkan suara mereka dalam aplikasi ini.

Sementara itu, filem pula akan ditayangkan di pawagam mulai 2 Mac 2017

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 12:08 AM
ZUL Ariffin menunjukkan aplikasi J Revolusi ketika majlis pelancaran minggu lalu. FOTO Eizairi Shamsudin
ZUL Ariffin menunjukkan aplikasi J Revolusi ketika majlis pelancaran minggu lalu. FOTO Eizairi Shamsudin