GAMBAR yang dipetik daripada rakaman video menunjukkan pasukan penyelamat berusaha mencari mangsa yang terperangkap dalam Hotel Rigopiano yang ditimbus salji.  - Reuters
GAMBAR yang dipetik daripada rakaman video menunjukkan pasukan penyelamat berusaha mencari mangsa yang terperangkap dalam Hotel Rigopiano yang ditimbus salji. - Reuters
Reuters

Penne (Itali): Lapan mangsa ditemui masih hidup selepas dua hari terperangkap dalam runtuhan salji yang memusnahkan sebuah hotel mewah di tengah Itali, kata pegawai Pertahanan Awam, Titti Postiglione.

Postiglione memberitahu wartawan, dua daripada lapan mangsa berkenaan berjaya dibawa keluar dari bawah salji dan sisa runtuhan Hotel Rigopiano yang runtuh pada Rabu lalu.

“Pasukan penyelamat menggali timbunan salji tebal untuk menyelamatkan baki enam lagi mangsa.

“Menemui mangsa yang hidup ini memberi harapan kepada kami bahawa masih ada lagi mereka yang terselamat,” katanya.

Lebih 30 mangsa termasuk empat kanak-kanak berada di dalam hotel itu ketika ia dilanda runtuhan salji selepas gempa bumi melanda Itali.

Dua lelaki yang berada di luar hotel berjaya keluar dari salji yang menimbus mereka.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Filippo Bubbico berkata, seorang mangsa yang ditemui selamat semalam adalah kanak-kanak perempuan.

Semua lapan mangsa ditemui di dapur itu yang tidak musnah selepas bertan-tan salji meruntuhkan sebahagian hotel empat tingkat itu.

Seorang anggota penyelamat, Walter Milan memberitahu, runtuhan hotel itu dilitupi salji setebal lima meter.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2017 @ 5:45 AM