Shamsul Munir Safini


Butterworth: Empat lelaki mengaku bersalah atas pertuduhan menunggang secara melulu dan berbahaya mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Butterworth, di sini, pagi ini.

Tertuduh pertama, Muhammad Faiz Ramli, 24, dipenjara empat hari dari tarikh ditangkap serta didenda RM5,500 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar selepas mengaku bersalah menunggang dengan gaya meniarap di atas tempat duduk motosikal di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) jam 2.25 pagi, 14 Januari lalu.

Dia membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Abdul Wahab.

Di mahkamah sama, tiga lagi lelaki termasuk seorang pelajar berusia 17 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan berasingan mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu dan berbahaya di BORR pada tarikh sama.

Muhammad Nabil Darwis, 18, dibenarkan ikat jamin RM3,000 sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tertuduh ketiga dan keempat, Mohd Shofian Abd Manaf, 20, dan seorang pelajar tingkatan lima diikat jamin masing-masing RM2,000 dan RM1,000 sementara menunggu laporan sosial daripada JKM.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shafina Ridzuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 3:26 PM
Muhammad Faiz dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Butterworth. FOTO Amir Irsyad Omar
Muhammad Faiz dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Butterworth. FOTO Amir Irsyad Omar