Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Sektor koperasi negara dilihat berada di landasan tepat untuk mencatatkan perolehan RM50 bilion menjelang 2020. Setakat Disember tahun lalu, ia berjaya merekodkan perolehan RM35.26 bilion hasil pelbagai aktiviti perniagaan dijalankan.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata, bagi mencapai sasaran itu, pemain sektor itu perlu terus menjana idea membangunkan perniagaan menggunakan teknologi semasa terutama sistem e-dagang yang mampu meluaskan aktiviti pasaran.

Menurutnya, perniagaan e-dagang mampu menghubungkan sistem perniagaan yang kritikal secara terus kepada perniagaan, pekerja dan pembekal menerusi Internet tanpa mengira saiz, lokasi dan jenis perniagaan.

Beliau berkata, Malaysia muncul sebagai negara ketiga mencatatkan peratusan tertinggi untuk segmen pengguna Internet iaitu 67 peratus selepas Singapura dan Brunei daripada jumlah keseluruhan pengguna di Asia Tenggara berjumlah 252.4 juta.

“Malah, sektor e-dagang Malaysia juga mencatatkan satu daripada urus niaga dalam talian perkapita tertinggi di Asia Tenggara daripada rekod berkenaan. Maka, hasil penembusan Internet menunjukkan ada potensi besar untuk pertumbuhan pasaran e-dagang.

“Jika pemain sektor koperasi tempatan mampu mengeksploitasi platform e-dagang dalam perniagaan mereka, ia mampu memberi pulangan memberangsangkan,” katanya di sini.

Setakat tahun lalu, ada 13,247 koperasi di Malaysia dengan tujuh juta anggota dan setiap tahun dianggarkan jumlah keseluruhan ahli dan perolehan mencatatkan purata sembilan peratus pertumbuhan dari setahun ke setahun.

Menurutnya, ada enam teras utama projek pembangunan sektor koperasi di negara ini merangkumi pemborongan dan peruncitan, pertanian, hartanah serta pelancongan, penjagaan kesihatan dan kewangan dengan semua sektor berkenaan berpotensi besar untuk diteroka.

Katanya, pada tahun ini, SKM memberi tumpuan kepada teras pemborongan dan peruncitan kepada pemain sektor koperasi tempatan bagi membantu meringankan beban ahli dan rakyat secara menyeluruh yang berdepan dengan cabaran kos sara hidup.

“Selain itu, kami sentiasa menggalakkan lebih banyak koperasi terbabit dalam aktiviti eksport bagi mengembangkan perniagaan ke negara asing dan tidak hanya tertumpu kepada pasaran tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 7:58 AM