DALAM KENANGAN...reaksi Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem ketika menjawab pertanyaan wartawan pada sidang media di bangunan lama DUN pada 5 Mei 2016. Allahyarham Adenan meninggal dunia di Pusat Jantung Sarawak Kota Samarahan, 11 Januari 2017. FOTO Bernama

Kuala Terengganu: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menyifatkan pemergian Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, hari ini, sebagai mengejutkan dan kehilangan besar bukan sahaja kepada penduduk Sarawak, malah kepada Barisan Nasional (BN).

“Takziah kepada Puan Sri Jamilah Anu serta keluarga atas kembalinya Ketua Menteri Tan Sri Haji Adenan Satem ke Rahmatullah.

“Bersama-samalah kita berdoa semoga roh Allahyarham Tan Sri Adenan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas Negeri Ghazali Taib berkata negeri Sarawak dan BN kehilangan seorang pemimpin yang berwibawa seperti Adenan.

“Beliau juga seorang pemimpin yang sangat jujur dan tegas dalam memperjuangkan kepentingan rakyatnya,” katanya ketika dihubungi Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Adenan, 72, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 1.20 tengah hari ini di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, Kuching, berikutan komplikasi jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 6:51 PM