KEPALA singa yang sudah siap sepenuhnya.
KEPALA singa yang sudah siap sepenuhnya.
PROSES mewarna perlu dilakukan dengan berhati-hati.
PROSES mewarna perlu dilakukan dengan berhati-hati.
MASTER Siow menunjukkan rangka kepala singa daripada rotan yang lebih mudah dilentur.
MASTER Siow menunjukkan rangka kepala singa daripada rotan yang lebih mudah dilentur.
Rashidah Ibrahim

Setiap kali terserempak aktiviti tarian singa pada masa dulu, pasti kecut perut. Takut melihat gelagat ‘singa’ terlompat ke sana ke mari, sambil meliuk-lintukkan badan dengan muka bengis dan mata bulat terjegil, diiringi bingit gendang. Dalam hati berdoa, ‘cepatlah selesai!’

Itu dulu. Tetapi kini seronok pula apabila berpeluang menonton persembahan tarian singa. Kagum memerhati gerak-geri pemain. Melompat dari satu tiang ke satu tiang tinggi, memang mencemaskan. Bimbang kalau-kalau tersilap pengiraan langkah, teruk padahnya!

Kostum tarian dipakai dua pemain yang bergerak seiring membentuk badan singa. Mereka ternyata berpengalaman, kalau tidak masakan jarang terjatuh sewaktu persembahan. Ini berikutan pemainnya menjalani siri latihan yang lama dan lulus untuk membuat persembahan.

Sewaktu latihan, bahagian bawah tiang dihamparkan kepingan tilam untuk keselamatan. Membuat persembahan berkonsep gimnastik dengan seluruh kepala dan badan disaluti kostum, memang sukar.

Pelik juga bagaimana mereka dapat menentukan kedudukan tapak tiang untuk diletakkan kaki sewaktu melompat, sambil tangan menarik tali untuk menggerakkan mulut singa.

Disebabkan tarian itu sinonim dengan masyarakat Cina, tidak pernah pula terfikir untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya. Namun pertemuan dengan adiguru peralatan boneka tarian singa, Siow Ho Phiew, 61, memberi pengertian baru kepada penulis terhadap persembahan itu.

Kunjungan Ogos lalu bersama peserta Kembara Kraf Selangor (KKS) 2016 ke kedai Alat-alat Tarian Singa Wan Seng Hang Trading di Shah Alam, disambut Ho Phiew selaku pengasasnya. Lebih mesra dengan panggilan Master Siow, dia mengasaskan syarikat pembuatan barang itu pada 1986.

“Sebelum itu saya sudah buat sarung kepala singa tetapi bukan secara komersial. Ada orang tanya, belajar di mana tetapi saya tidak pernah belajar daripada sesiapa, melainkan mengkaji dan buat sendiri berpandukan kepala patung singa dari China. Dari semasa ke semasa, saya menambah baik mutu pembuatannya, sehingga berpuas hati.

“Puncanya saya ingin buat sendiri kerana topeng kepala singa dari China yang terhasil daripada buluh mudah patah dan rosak, jadi rangka buluh saya gantikan dengan rotan yang mudah dilentur dan teguh. Dari situ kualitinya dipertingkat.

“Walaupun kini ada kertas daripada serat batang pisang yang kukuh untuk menutup rangka tetapi saya masih guna lapisan kertas sama dengan yang diguna pada patung China, kerana pada masa ini bekalan kertas bermutu daripada serat batang pisang sukar diperoleh. Kertas biasa itu diperbuat daripada buluh,” jelasnya.

Sambil menambah, membuat kepala singa memerlukan kesabaran tinggi dan fokus untuk mendapatkan kualiti halus kerana pembuatannya membabitkan banyak peringkat.

Selepas menerima anugerah Adiguru Kraf Negeri Selangor pada 2012, nama Master Siow semakin tersohor sebagai penghasil kraf berkenaan. Master Siow tidak keseorangan dalam penghasilan kostum kepala singa, kerana anak perempuannya, Siow Hooi Poon, 33, turut membantu di samping ramai lagi pekerja.

Hooi Poon, anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata, kakak sulungnya juga turut terbabit dalam pengurusan syarikat bapanya. Dia bertugas di bahagian akaun.

Ternyata sokongan ahli keluarga membuat syarikat milik pembuat barang peralatan boneka tarian singa milik Master Siow dapat beroperasi lama dan terus berkembang.

10 peringkat

Menurut Hooi Poon, terdapat 10 peringkat proses pembuatan kepala singa dan dia sendiri bertanggungjawab pada peringkat kerja terakhir.

Sepuluh peringkat itu, dimulai dengan membuat rangka kepala diikuti memasang lapisan kertas pada rangka, menampal pelekat, melukis corak, menyapu syelek kalis air, melekatkan bulu atau rambu, memasang mata dan aksesori, meletak tali, menjahit sarung badan dan akhir sekali mencantum badan dengan kepala.

“Kalau tanya saya berapa banyak pengeluaran sehari, sukar nak jawab kerana pekerja bertukar ikut bidang tugas sendiri,” ujar Hooi Poon. Namun menurut ayahnya, satu set penuh dianggarkan mengambil masa lapan hari untuk disiapkan.

Ditanya mengapa dia mengambil keputusan bekerja dengan ayahnya, Hooi Poon pantas menjawab, “Kerja di sini senang, saya tidak perlu pergi ke tempat lain, lagi pun kerjanya tidak menyusahkan. Daripada susah payah mencari kerja di tempat lain, lebih baik saya kerja di tempat sendiri,” ujarnya.

Master Siow berkata, kini syarikatnya mampu menghasilkan 500 kepala singa dalam setahun, tempahan diterima bukan sahaja dari dalam negara dan Asia tetapi juga dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat dan Eropah, bahkan syarikat di China, negara asal tarian itu juga turut menjadi pelanggannya. Harga satu set kostum termasuk badan singa antara RM2,000 hingga RM3,000.

Menurutnya, ramai salah anggap tarian singa berkait dengan agama. Ia adalah satu cabang sukan dan seni budaya yang boleh disertai sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang dan kaum kerana tarian singa tiada kaitan dengan kepercayaan agama.

Apabila tarian singa dijadikan pertandingan kebangsaan, ramai pemuda menyertai termasuk daripada bangsa lain. Bahkan di negara China, masyarakat daripada wilayah Islam di sana juga terbabit melakukan persembahan tarian singa, ujarnya.

Master Siow berkata, dia pernah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa agama mengenai ciri persembahan tarian singa dan setelah pihak berkenaan berpuas hati mengenai ketiadaan hubungan dengan keagamaan, tarian ini semakin mendapat perhatian.

Dia juga bergiat aktif dalam kegiatan kemasyarakatan dan pernah dilantik sebagai pengerusi Persatuan Tarian Singa dan Naga Antarabangsa yang pertama pada 1992, selain turut menjadi pengerusi Persatuan Tarian Singa Selangor.

Sehingga kini Master Siow menjadi sumber rujukan banyak persatuan tarian singa dari dalam dan luar negara. Bukan saja kerana kemahirannya dalam kraf itu, malah prestasi pasukannya yang berjaya menjuarai 12 pertandingan juga menjadikan dia disegani. Ini berikutan kemampuannya menghasilkan seni pergerakan seperti akrobatik yang tidak dapat ditandingi kumpulan lain.

Selain menunjukkan cara membuat boneka kepala singa dan memukul gendang tarian itu, dia turut memberi peluang kepada penulis melihat dengan lebih dekat latihan tarian singa, yang dianggotai oleh pemain lelaki dan perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 2:44 PM