PEMUTIHAN gigi dilakukan untuk kebersihan dan kesihatan.
PEMUTIHAN gigi dilakukan untuk kebersihan dan kesihatan.
Siti Nadirah Hafidzin


Senyuman adalah ekspresi daripada hati, namun ada kalanya sukar bagi sesetengah individu untuk memberikan senyuman menawan disebabkan perasaan kurang yakin dan merasakan gigi dalam keadaan kurang sempurna.

Pastinya setiap individu mendambakan gigi yang putih dan bersih namun atas pelbagai faktor dan sebab antaranya pengaruh usia dan penyakit genetik, permukaan dentin terdedah mengakibatkan gigi haus.

Tabiat merokok dan corak pemakanan pula boleh menyebabkan gigi berubah warna menjadi kekuningan dan kusam.

Individu yang mengalami masalah itu pasti berasa malu untuk berdepan dengan khalayak. Ada yang sanggup menghabiskan banyak wang bagi mendapatkan gigi yang cantik, sekali gus mengembalikan keyakinan diri.

Menurut Doktor Pergigian, Dr Mukhlis Saufian, perubahan warna gigi terjadi kerana faktor luaran seperti merokok, minum minuman berwarna seperti kopi, teh, wain merah atau minum berkarbonat berwarna gelap.

“Ia juga boleh terjadi disebabkan faktor dalaman seperti saraf pada bahagian gigi tidak berfungsi atau gigi sudah mati. Biasanya perubahan warna gigi mengambil masa berbulan hingga bertahun lamanya.

“Pengaruh usia, penyakit genetik, rawatan kanal akar gigi, pereputan gigi dan ubatan seperti tetracyline menyebabkan perubahan warna pada gigi,” katanya.

Dr Mukhlis dari Klinik Gigi Famili Saufian Dental berkata, penjagaan gigi seharusnya bermula daripada perkara asas iaitu memberus gigi dengan baik dan betul.

“Paling mudah adalah menggunakan ubat gigi pemutih yang boleh menghilangkan kotoran pada permukaan gigi. Setiap kali memberus gigi dengan ubat gigi pemutih kotoran yang disebabkan daripada makanan dan minuman, tompokan plak dapat dibersihkan.

“Antara rawatan pilihan adalah estetika dalam pergigian yang biasanya digunakan untuk merujuk kepada perkhidmatan pergigian yang meningkatkan penampilan gigi seseorang,” ujarnya.

Estetika pemutihan gigi

Menurut Dr Mukhlis, pemutihan adalah prosedur pergigian estetika yang paling biasa dan prosedur pemutihan gigi dilakukan menggunakan hidrogen peroksida, sejenis asid yang tidak terlalu kuat dengan kadar pH 6.2 manakala pH neutral adalah 7.

“Opalescence boost dilakukan menggunakan teknologi yang mampu memutihkan gigi dengan ketara dalam masa lebih kurang satu jam. Ia sesuai untuk mereka yang mahukan hasil serta-merta.

“Opalescence boost menggunakan 40 peratus hidrogen peroksida sebagai bahan aktif yang disapukan pada gigi dan kemudian cahaya biru akan dipancarkan pada permukaan gigi yang sudah disapukan hidrogen peroksida,” katanya.

Menurutnya, ketika cahaya biru dipancarkan, proses pemutihan berlaku apabila hidrogen peroksida bebas melalui semua bahagian gigi, menyebabkan perubahan warna gigi daripada warna asal kepada warna yang lebih cerah atau putih.

“Hidrogen peroksida dan cahaya biru akan bertindak balas bagi menghasilkan gigi yang lebih putih tanpa meninggalkan kesan degil yang melekat lama pada gigi.

“Kaedah ini terbukti secara klinikal mampu menjadikan gigi lebih cerah daripada warna asal. Sebelum sebarang proses pemutihan gigi dijalankan, doktor akan memeriksa gigi seseorang itu terlebih dulu kerana rawatan pemutihan tidak akan dilakukan sekiranya gigi individu terbabit bermasalah.

“Pesakit yang menghadapi masalah pergigian seperti gusi luka, gigi retak dan penyakit lain dinasihatkan supaya mengatasi masalah itu terlebih dulu sebelum menjalani prosedur,” ujarnya.

Risiko pemutihan gigi

Ditanya mengenai risiko ketika rawatan dijalankan, Dr Mukhlis berkata, risikonya amat rendah dan kebiasaannya hanya akan berasa pedih dan tidak selesa pada bahagian gusi sekiranya seseorang itu mengalami masalah gigi sensitif.

“Ini disebabkan cecair pemutih berkemungkinan terkena pada bahagian yang sensitif. Namun rasa itu biasanya tidak lama kerana bahagian gusi akan ditutup sepanjang rawatan dijalankan.

“Keputusan prosedur ini berbeza bagi setiap individu bergantung kepada warna asal gigi mereka. Rawatan pemutihan gigi juga tidak sesuai untuk mereka yang berusia 16 tahun ke bawah, individu yang mempunyai penyakit diabetes tidak terkawal dan wanita hamil atau menyusukan bayi,” katanya.

Tambah Dr Mukhlis, prosedur ini hanya mengambil masa sekitar 40 minit dan disebabkan pemutihan gigi dilakukan menggunakan asid maka ia hanya dicadangkan dilakukan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh setahun, namun boleh diulang seawal tiga bulan selepas prosedur pemutihan terdahulu.

“Individu yang menjalani proses pemutihan gigi dinasihatkan untuk menggunakan ubat gigi dengan kuasa pemutih sebagai langkah memastikan gigi kekal putih. Mereka juga dinasihatkan untuk tidak mengambil makanan atau minuman yang berwarna sekurang-kurangnya selama tiga hingga tujuh hari bagi memastikan keberkesanannya.

“Selain itu, mereka juga akan dibekalkan dengan krim untuk gigi mengandungi kalsium dan fosfat, dua mineral utama yang terkandung dalam gigi. Ternyata proses ini bukan saja demi menjaga kebersihan gigi malah pada masa sama menjaga tahap kesihatan gigi,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai proses pemutihan gigi, sila layari laman Facebook.com/ Famili Saufian Dental Service dan di Instagram/family_saufian_dental.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 5:03 AM