TIDAK pernah berhenti hasil lagu malah sesekali diundang jadi juri pertandingan nyanyian.
TIDAK pernah berhenti hasil lagu malah sesekali diundang jadi juri pertandingan nyanyian.
Ridzuan Abdul Rahman


Lagu Kembali Terjalin dan Gerimis Mengundang nyanyian Slam, Lamunan Terhenti (Aris Ariwatan), Sembilu (Ella), Di Sana Menanti Di Sini Menunggu (kumpulan Ukays) dan Madah Berhelah (Ziana Zain) antara koleksi lagu ciptaan Saari Amri yang menjadi fenomena.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi komposer berasal dari Tanah Merah, Kelantan ini apabila terbabit dalam kemalangan tragis pada November 1996 sehingga koma selama dua minggu.

Ramai menyangka Saari tidak mampu lagi berkarya seperti sebelumnya. Namun berlaku keajaiban apabila dia pulih sepenuhnya selepas tiga tahun menjalani pemulihan.

Bagaimanapun, penciptaan lagu yang kurang produktif berbanding dahulu membuatkan segelintir pihak menyangka dia sudah bersara.

Saari, 50, berkata, dia tidak pernah mengucapkan selamat tinggal, malahan tidak pernah berhenti menghasilkan lagu untuk penyanyi baru.

“Saya masih buat lagu dan sesekali diundang sebagai juri pertandingan nyanyian. Hasil karya terbaru saya ialah Lahirmu Untuk Dia nyanyian Aris, Berani (Keena Mentor) dan Luka Dalaman (Zamani dan Lulu).

“Memang dulu tawaran buat lagu datang tidak putus-putus diterima sehinggakan tak terkejar dibuatnya berbanding sekarang.

“Saya lebih banyak berehat dan sesekali hasilkan single untuk artis baru seperti lagu Cinta Luaran dan Jiranku Mat Rock nyanyian Zarina yang juga pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

“Lagu ini sedap didengar dan mempunyai melodi menarik tapi sayangnya stesen radio kita kurang berminat memutarkannya,” kata Saari.

Ayah kepada empat anak iaitu Fitri Amri, Iraas Irma, Iraas Maliani dan Amri Farizuan ini akui terkilan dengan prosedur stesen radio yang mengehadkan durasi lagu kepada empat minit saja sekarang.

“Paling lama pun sekitar empat minit setengah tapi sebenarnya ia menyekat kreativiti penciptaan lagu. Bayangkan untuk ‘part’ solo gitar pun hanya kena buat beberapa bar sahaja.

“Bahkan ada juga lagu yang tiada langsung ‘part’ solo dan ia perkembangan yang tak sihat bagi penciptaan lagu.

“Bagaimanapun, saya faham stesen radio sekarang kena bersaing untuk dapat iklan dan pengkarya kena akur dengan syarat yang ditetapkan,” jelasnya.

Buku kisah hidup

beri impak

Saari yang hanya bersekolah setakat darjah enam turut menulis buku berjudul Airmata Saari Amri yang diterbitkan pada 2014 dan dijual secara ‘online’.

“Saya tak belajar tinggi tapi saya sering berfikir cara untuk ubah kehidupan agar senang. Buku ini bagus untuk bacaan remaja kerana ia memberi motivasi untuk mereka berjaya.

“Bahkan ada juga yang menangis sebaik membacanya. Saya berbangga kerana Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) turut membeli 500 naskhah,” katanya.

Pernah bergelar jutawan dan memiliki studio rakaman, Menora Studio berharga RM1.5 juta sebelum semuanya hilang. Namun Saari bersyukur dengan apa yang ada padanya sekarang.

“Kawan tak bayar hutang ratusan ribu sehingga bangunan saya dilelong oleh bank. Boleh dikatakan saya rebah juga kerana percayakan kawan-kawan.

“Tapi saya ambil jalan mudah halalkan saja hutang mereka. Hati pun tak sakit jadinya. Lagipun dah tertulis itu bukan rezeki saya.

“Saya amat berterima kasih terhadap Datuk Aziz Bakar selalu beri semangat dan membantu ketika saya dalam kesusahan,” katanya.

Menurutnya, dengan royalti daripada 600 lagu yang dihasilkannya, dia mampu memberikan kehidupan sederhana untuk keluarganya.

“Saya pernah hidup mewah dan sekarang hidup sederhana saja tapi yang penting saya dapat sara keluarga dan sekolahkan anak-anak.

“Dua yang besar kini belajar di pusat kemahiran dan universiti manakala dua lagi masih di sekolah menengah.

“Saya tak berani nak jamin akan buat kebangkitan semula dalam industri selagi pasaran album kita masih lesu dan semua penyanyi hanya hasilkan single sendiri,” katanya yang kini membantu masyarakat dengan mengubati penyakit kencing manis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 5:01 AM