SHERA mahu lebih ramai wanita tampil anggun dan menarik.
SHERA mahu lebih ramai wanita tampil anggun dan menarik.
GINCU antara produk terbaru keluaran Getshera.
GINCU antara produk terbaru keluaran Getshera.
ANTARA produk keluaran Getshera.
ANTARA produk keluaran Getshera.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Menggalas tugas sebagai suri rumah tidak semestinya hanya perlu bergantung kepada sumber kewangan suami. Buktinya, wanita ini mampu menjana pendapatan sendiri meskipun bergelar suri rumah.

Jika dulu, ibu yang tidak bekerja menguruskan keperluan keluarga sepenuhnya tetapi kini menjadi suri rumah bukan bererti seseorang itu tidak mampu menyumbang kepada ekonomi keluarga.

Mengenali figura ini lebih dekat, tiada siapa menyangka dia hanyalah suri rumah kerana keterampilan meyakinkan dan semangatnya berkobar-kobar ketika berkongsi kisah kehidupannya yang berjaya menjana pendapatan sendiri.

“Siapa kata jadi suri rumah kita perlu duduk saja tanpa buat sesuatu yang mendatangkan duit. Kalau mahu jadi suri rumah, biarlah jadi suri rumah berduit,” kata Shera Samsudin memulakan bicara.

Lebih menarik, wanita berusia 36 tahun ini menggunakan sepenuhnya kemudahan Internet dan media sosial untuk membina jenamanya sendiri dengan hanya bermodalkan RM200 ketika awal pembabitannya dalam perniagaan.

“Saya berjinak-jinak dengan perniagaan dalam talian sekadar untuk memenuhi masa terluang ketika berada di rumah. Akhirnya ia bertukar menjadi serius apabila saya mendapat permintaan daripada pelanggan. Pendapatannya juga agak memberangsangkan,” katanya.

Katanya, sudah lima tahun produknya berada di pasaran dan dia bermula dengan mengeluarkan minuman kecantikan hingga meluaskan ke produk rangkaian penjagaan diri dan kosmetik.

Biarpun permulaan perniagaannya hanya secara kecil-kecilan, Shera mengakui permintaan terhadap minuman kecantikan semakin menggalakkan malah menerima sambutan positif daripada pelanggan.

Selepas membina jenamanya, Getshera melalui minuman kecantikan, pelanggan setia mula meminta Shera menghasilkan produk penjagaan diri.

“Ramai pelanggan yang beri cadangan untuk saya usahakan produk penjagaan diri. Kebetulan pula anak saya ketika itu menghidap ekzema yang agak teruk dan terpanggil untuk mencari formula mandian menggunakan bahan semula jadi yang sesuai untuk kulit sensitif.

“Selepas pelbagai produk saya gunakan selain rawatan mencecah ribuan ringgit, saya gunakan sendiri produk itu untuk masalah kulit anak. Alhamdulillah masalah kulitnya hilang. Sejak itu timbul keyakinan untuk menghasilkan produk berasaskan bahan semula jadi yang selamat dan berkualiti,” katanya.

Selepas lima tahun berkecimpung dalam bidang itu, Shera mula berasakan perlunya melakukan sesuatu bermanfaat untuk suri rumah sepertinya memajukan diri dan menjana pendapatan sendiri.

Menyedari ramai suri rumah yang tidak berani mencuba berniaga secara dalam talian kerana tiada modal atau kekangan dari segi kewangan, Shera berhasrat mendidik lebih ramai pelanggannya menggunakan sambil menjual produk keluaran syarikatnya.

Lagipun, katanya, produk keluaran syarikatnya untuk kegunaan dari hujung rambut hingga hujung kaki dan memudahkan pelanggan mendapatkan barangan keperluan diri di satu tempat.

“Keuntungan yang saya tawarkan untuk setiap produk juga tinggi maka saya mengalu-alukan lebih ramai suri rumah menjana pendapatan bersama syarikat saya.

“Dengan pengalaman yang ada ini, saya boleh bantu suri rumah memasarkan produk secara dalam talian dan membimbing mereka sehingga mampu menjana pendapatan sendiri.

“Manfaatkan media sosial seperti Facebook sepenuhnya, tidak sekadar mengemas kini perkembangan diri sendiri atau keluarga yang saya rasakan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata lelaki berusia 11 dan sembilan tahun ini berkata, meskipun minatnya untuk berniaga amat tinggi, keutamaan terhadap keluarga dan keinginan melihat anak membesar depan mata sendiri membuatkan dia menjadikan platform dalam talian sebagai lubuk rezeki.

Suaminya tidak menghalang keinginannya untuk terbabit dalam dunia perniagaan asalkan dia boleh membahagikan masa antara urusan perniagaan dan keluarga, justeru, medium Internet adalah satu-satunya pilihan bagi mengembangkan perniagaan.

“Sejak mula berniaga lagi saya berasakan ini sudah memadai untuk menjana pendapatan. Apabila ada sistem seperti laman web ia lebih mudah untuk memantau tempahan dan promosi.

“Tidak sukar sebenarnya, asalkan kita tahu memanfaatkan sebarang bentuk media sosial untuk berniaga. Percaya atau tidak produk saya semuanya dijual secara eksklusif melalui laman web getshera.com dan Facebook serta Instagram Getshera,” katanya.

Kini, Shera mampu tersenyum bangga selepas produk penjagaan wajah antaranya serum, krim wajah, pencuci muka, skrub muka, krim mata, pupur kolagen dan pelbagai pilihan dengan formulasi menggunakan bahan semula jadi terus mendapat permintaan pelanggan.

Bagi mengukuhkan jenama itu di pasaran, Getshera turut mengeluarkan produk kosmetik seperti gincu, bedak asas, maskara, penggaris mata dan minyak wangi serta set ekzema terdiri daripada mandian, krim dan sabun.

Malah produk keluaran syarikatnya itu mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diformulasikan di kilang berstatus Amalan Pengilangan Baik (GMP).

“Semua produk saya gunakan terlebih dulu sebelum dipasarkan bagi memastikan hanya kualiti terbaik untuk pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 11:12 AM