Antara barang yang dirampas oleh pihak polis daripada semua suspek. FOTO Ihsan Polis
Antara barang yang dirampas oleh pihak polis daripada semua suspek. FOTO Ihsan Polis
Mohd Rizal Abdullah


Bintulu: Tujuh individu dengan salah seorangnya dikenali 'Boy Kemunting' yang terbabit dalam 11 kes pecah rumah dan curi kenderaan dicekup polis menerusi tangkapan berasingan di Taman Ginseng, Kampung Jabai dan Taman Jabai, Bintulu, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Superintendan Zailani Amit berkata, lima suspek berusia 19 dan 34 ditahan di sebuah rumah di Taman Ginseng pada jam 1.30 pagi, seorang berusia 19 tahun ditahan di Taman Jabai dan seorang lagi berusia 21 tahun di Kampung Jabai pada jam 3.30 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis menemui kereta Perodua Myvi curi dan pelbagai barang antaranya jam berjenama dan telefon hasil samun bersama suspek di Taman Ginseng.

"Suspek bersama seorang rakannya mengakui terbabit dalam 11 kes pecah rumah di Bintulu dan Miri pada penghujung tahun lalu," katanya.

Semua suspek sudah direman selama tujuh hari bermula semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 1:34 PM