ESTRANGED rugi RM100,000 akibat ditipu. FOTO Arkib NSTP
ESTRANGED rugi RM100,000 akibat ditipu. FOTO Arkib NSTP
Riadz Radzi


Kuala Lumpur: Kumpulan Estranged memfailkan saman terhadap Eziana Abdul Aziz, 35, di Mahkamah Tinggi, di sini, kerana melakukan penipuan berhubung tawaran mengadakan persembahan di Konsert Apple London Music Festival di London pada 25 Disember lalu.

Estranged yang diwakili anggotanya iaitu Richard Lawrence Gimbang, 34 (penyanyi), Solihuddin Hormat, 32, (gitar) dan Nor Hanafi Noor Hadi, 34 (gitar) memfailkan saman itu di kaunter pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, melalui Tetuan Thomas Philip pada 23 Disember lalu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Estranged mendakwa Eziana sebagai defendan menawarkan Estranged untuk mengadakan persembahan di London untuk Apple London Music Festival yang diselenggarakan Apple London Music serta berkaitan dengan syarikat Apple.

Estranged kemudian mendapat tahu bahawa surat jemputan beserta dengan dokumen-dokumen lain berkaitan adalah palsu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Estranged kerugian sebanyak RM100,000 membabitkan persiapan selama dua bulan seperti latihan, bayaran kru serta cenderahati seperti jaket, sepanduk, bendera Malaysia, dan kemeja-T kumpulan itu.

"Kami semua berputih mata apabila ditipu mentah-mentah begini. Kerugian dialami itu membabitkan perbelanjaan sepanjang dua bulan lalu," kata Solihuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 6:10 PM