PEMAIN Kampung Bachang Darat dan Kampung Baroh bergambar kenangan.
PEMAIN Kampung Bachang Darat dan Kampung Baroh bergambar kenangan.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pasukan Kampung Bachang Darat muncul juara Kejohanan Futsal Piala Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Tan Sri Mohd Ali Rustam selepas menang 2-0 ke atas Kampung Baroh pada aksi final di Kompleks Sukan Batu Berendam, semalam.

Kejayaan berkenaan membolehkan Bachang Darat membawa pulang RM1,000 piala dan hadiah iringan manakala Baroh RM600 serta hadiah iringan.

Tempat ketiga pula milik Semerah Padi yang meraih RM300 dan keempat Taman RB (RM200).

Ali Rustam berkata, kejohanan itu membuka kalendar pertama kejohanan futsal di Melaka dengan misi mendedahkan bakat baharu dalam sukan berkenaan.

Katanya, kejohanan anjuran DMDI dan UMNO Bukit Katil terbabit disertai 84 pasukan dalam parlimen Bukit Katil terbabit sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara lapisan generasi penduduk.

“Sempena program ini pemain berpeluang menurunkan tandatangan bagi menyatakan bantahan kepada Myanmar yang menekan bangsa Rohingya.

“Menerusi sukan diharap mampu menjadi agenda perpaduan nasional dan dunia sekali gus meningkatkan hubungan kasih sayang tanpa mengira status, bangsa, agama dan kedudukan,”katanya.

Katanya, DMDI juga mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan hak asasi manusia dalam kalangan masyarakat Rohingya dan berharap ia akan diselesaikan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 8:57 AM