KAKITANGAN dan guru bergotong-royong membersih kelas dan kawasan yang dinaiki banjir di Sekolah Kebangsan Matang. FOTO Rozainah Zakaria
KAKITANGAN dan guru bergotong-royong membersih kelas dan kawasan yang dinaiki banjir di Sekolah Kebangsan Matang. FOTO Rozainah Zakaria
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Banjir di Terengganu semakin pulih apabila cuaca baik sejak pagi tadi membolehkan lebih ramai mangsa pulang ke rumah apabila tinggal hanya 884 mangsa sehingga 1 tengah hari tadi berbanding 1,012 mangsa pada 9 pagi.

Mangsa terdiri 271 keluarga masih ditempatkan di 13 pusat pemindahan di Dungun, Hulu Terengganu dan Marang.

Secara keseluruhannya, jumlah mangsa di setiap daerah menunjukkan penurunan dengan pusat pemindahan di Setiu dan Kemaman turut ditutup sepenuhnya kira-kira 10 pagi tadi.

Menurut etindakan.terengganu.gov.my, 48 mangsa daripada 12 keluarga yang ditempatkan di dua pusat pemindahan di Kemaman masing-masing dibenarkan pulang selepas banjir surut di rumah mereka.

Selain itu, pusat pemindahan di Setiu iaitu Dewan Sivik Sungai Tong dan Balai Raya Kampung Bukit Nenas yang menempatkan 28 mangsa daripada tujuh keluarga juga ditutup sepenuhnya.

Di Marang, 450 mangsa daripada 115 keluarga masih ditempatkan di lapan pusat pemindahan berbanding 488 mangsa daripada 127 keluarga di 10 pusat pemindahan pagi tadi.

Selain itu, jumlah mangsa di Hulu Terengganu juga mencatatkan penurunan apabila hanya 347 mangsa daripada 136 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Dungun kekal dengan 87 mangsa daripada 20 keluarga di dua pusat pemindahan iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mentangau dan Dewan Sivik Paka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2017 @ 1:56 PM