PENDUDUK Wan Awang Wan Chik (kanan) bersama isteri melihat keadaan banjir di sekitar rumahnya Kampung Bukit Tadok, Hulu Terengganu. FOTO Ghazali Kori
PENDUDUK Wan Awang Wan Chik (kanan) bersama isteri melihat keadaan banjir di sekitar rumahnya Kampung Bukit Tadok, Hulu Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus menunjukkan penurunan dengan hanya 1,012 orang sehingga 9 pagi ini, berbanding 1,399 orang pada 12 tengah malam tadi.

Sehingga 9 pagi, semua mangsa yang terdiri daripada 300 keluarga berbanding 439 keluarga masih ditempatkan di 20 pusat pemindahan berbanding 23 pusat pemindahan masing-masing di Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Kemaman dan Marang.

Menurut kenyataan banjir, etindakan.terengganu.gov.my, daerah Marang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi apabila 488 mangsa daripada 127 keluarga ditempatkan di 10 pusat pemindahan.

Selain itu, jumlah mangsa di Hulu Terengganu terus mencatatkan penurunan apabila hanya 361 mangsa daripada 134 keluarga masih ditempatkan di empat pusat pemindahan.

Sementara itu, mangsa banjir di Kemaman turut menunjukkan penurunan apabila hanya 48 mangsa daripada 12 keluarga masih berada di dua pusat pemindahan.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Dungun masih kekal dengan 87 mangsa daripada 20 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mentangau dan Dewan Sivik Paka

Di Setiu, jumlah mangsa juga kekal dengan 28 mangsa daripada tujuh keluarga yang ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu di Dewan Sivik Sungai Tong dan Balai Raya Kampung Bukit Nenas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2017 @ 9:47 AM