Pasukan sukarelawan bergotong royong mengangkut barang keperluan harian untuk diagihkan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan di Kampung Bukit Tadok. FOTO ROZAINAH ZAKARIA
Pasukan sukarelawan bergotong royong mengangkut barang keperluan harian untuk diagihkan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan di Kampung Bukit Tadok. FOTO ROZAINAH ZAKARIA
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan di Terengganu terus berkurangan kepada 1,339 orang pada 12 tengah malam tadi berbanding 1,766 orang pada 7 malam tadi.

Semua mangsa yang terdiri daripada 439 keluarga berbanding 590 keluarga masih ditempatkan di 23 pusat pemindahan berbanding 27 pusat pemindahan di Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Kemaman dan Marang.

Menurut kenyataan banjir, etindakan.terengganu.gov.my, daerah Hulu Terengganu masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 612 mangsa daripada 253 keluarga di lima pusat pemindahan berbanding 935 orang daripada 376 keluarga di lapan pusat pemindahan.

Seramai 540 mangsa daripada 141 keluarga ditempatkan di 11 pusat pemindahan di Marang berbanding 576 orang daripada 155 keluarga di 12 pusat pemindahan sebelum ini.

Selain itu, mangsa banjir di Kemaman turut menunjukkan penurunan apabila hanya 72 mangsa daripada 18 keluarga masih berada di tiga pusat pemindahan berbanding 145 mangsa daripada 33 keluarga di tiga pusat pemindahan.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Dungun kekal dengan 87 mangsa daripada 20 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mentangau dan Dewan Sivik Paka

Di Setiu, jumlah mangsa meningkat kepada 28 mangsa daripada tujuh keluarga berbanding hanya 23 mangsa daripada enam keluarga yang ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu di Dewan Sivik Sungai Tong dan Balai Raya Kampung Bukit Nenas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2017 @ 12:48 AM