LAMPARD minat untuk terus bersama City.
LAMPARD minat untuk terus bersama City.
Agensi

Manchester, England: Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini membayangkan Frand Lampard akan tetap berada dalam skuadnya bulan depan.

Lampard, bekas pemain tengah England, melakukan impak besar di Stadium Etihad sejak diikat secara pinjaman dari New York City dan dijangka melanjutkan penampilannya bersama kelab juara Liga Perdana Inggeris itu.

Asalnya kontrak pemain berusia 36 tahun itu tamat hujung bulan ini namun Pellegrini menegaskan keinginan kuatnya untuk mengekalkan pemain itu.

Lampard turut menyatakan minat untuk kekal dan Pellegrini berkata awal minggu ini beliau menjangkakan keputusan mengenainya dalam “beberapa hari akan datang”.

Pengendali dari Chile itu mendedahkan kehadiran Lampard memang dialu-alukan kerana dia boleh menjadi pengganti Yaya Toure ketika Piala Negara Afrika, yang bermula 17 Januari ini.

“Satu daripada alasan kami meminta dia bermain di sini adalah kerana kami sedar Yaya akan meninggalkan kami bagi menyertai Piala Negara Afrika,” ujar Pellegrini.

Bagaimanapun belum pasti sama ada hasrat Pellegrini mengekalkan Lampard hingga hujung musim ini boleh dicapai.

Bekas pemain tengah Chelsea itu menjadi kunci kepada strategi City di New York dan kelab Amerika itu mahukan khidmatnya bagi permulaan musim Major League Soccer Mac ini.

Rundingan bagaimanapun tidak berjalan lancar dan jelas mengambil masa namun Pellegrini mendakwa sebarang kelewatan tidak menjadi isu.

“Alasan ia mengambil masa lama tidak penting, apa yang penting dia kekal di sini.

“Saya yakin dia akan kekal tapi saya tidak berani mengatakan 100 peratus kerana hakikatnya Lampard pemain New York City.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 9:19 PM