PEMAIN Eagle FC dan KBS Rantau bergambar bersama Fadhil (baju putih).
PEMAIN Eagle FC dan KBS Rantau bergambar bersama Fadhil (baju putih).
Nazri Abu Bakar


Melaka: Eagle FC dari Kuala Lumpur muncul juara kejohanan bola sepak veteran Piala Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka selepas menewaskan KBS Rantau FC dari Negeri Sembilan 1-0 pada perlawanan akhir.

Kejayaan di UiTM Lendu, Alor Gajah itu membolehkan Eagle meraih RM1,000, piala dan hadiah iringan manakala KBS Rantau meraih RM700 piala dan hadiah iringan.

Penentuan tempat ketiga pula menjadi milik Shogun FC juga dari Kuala Lumpur yang ceria meraih RM400 dan hadiah iringan selepas menewaskan KVFC dari Melaka 1-0.

Hadiah disampaikan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Datuk Fadhil A Bakar.

Kejohanan anjuran Bahagian Pendidikan dan Jaringan Industri (PJI) UiTM Melaka disertai lapan pasukan termasuk dari Johor Bahru, Segamat, Melaka dan Selangor.

Rektor UiTM Melaka, Profesor Madya Dr Mohd Adnan Hashim berkata, antara tujuan kejohanan itu adalah menarik kehadiran warga luar Melaka mengunjungi destinasi menarik di bandar raya itu.

“Apa yang penting ikatan silaturahim dan persaudaraan berjaya ditampilkan menerusi penyertaan pelbagai kaum dan pemain berusia 40 tahun ke atas.

“Bagi saya semua pasukan memiliki barisan pemain yang mantap sekali gus membuktikan usia bukan halangan untuk mereka menyertai pertandingan kerana ada peserta yang berusia 66 tahun dari Otai FC Segamat turut mencurah kudrat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2016 @ 5:12 AM