Daun ketum yg ditemui dalam bot. FOTO ihsan AKSEM
Daun ketum yg ditemui dalam bot. FOTO ihsan AKSEM
Muhammad Mustakim Ramli


Kangar: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis merampas 200 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM14,000 di Kampung Pulau Ketam, Kuala Perlis, semalam.

Komander AKSEM negeri, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, daun ketum berkenaan ditemui di dalam sembilan guni berwarna putih di dalam bot yang ditinggalkan di perairan berkenaan.

Beliau berkata, dalam kejadian 11 pagi itu pasukannya yang melakukan rondaan melakukan pemeriksaan lanjut selepas mengesan bot itu dalam keadaan mencurigakan.

"Bot jenis fiber berwana hitam merah itu tidak bertuan dan ditinggalkan dengan beberapa guni berwarna putih.

"Pemeriksaan menemui daun ketum di dalam sembilan guni berkenaan dan siasatan lanjut mendapati berat keseluruhan daun ketum adalah 200 kg membabitkan nilai RM14,000," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya individu atau kumpulan yang membawa bahan terlarang berkenaan menyedari kehadiran AKSEM sebelum melarikan diri.

"Kes ini diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kangar untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga empat tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 1:44 PM