Abdul Shukoor  (kiri) dan gambar kanan, Allahyarham Zakeer bersama isterinya, Miyarseh. - Foto Fail
Abdul Shukoor (kiri) dan gambar kanan, Allahyarham Zakeer bersama isterinya, Miyarseh. - Foto Fail
BERNAMA

George Town: Keluarga pemandu bas ekspres Zakeer Zubir, 32, yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Pagoh, Johor, Sabtu lalu, sedia memberi kerjasama dalam siasatan kemalangan itu.

Bapa saudara mangsa, Abdul Shukoor Rahim, 63, berkata keluarganya juga berharap laporan siasatan dapat dikeluarkan segera.

Beliau tidak menolak kemungkinan pihaknya mengambil tindakan undang-undang berhubung kemalangan itu dan sudah melantik peguam untuk membantu sekiranya ada sebarang ketidakadilan terhadap arwah.

Bercakap di rumah keluarga Zakeer di sini hari ini, Abdul Shukoor berkata: "Kami ingin jawapan daripada majikan mengapa bas itu hanya dipandu arwah seorang pada ketika itu?

“Sedangkan jarak perjalanan sangat jauh dari Pulau Pinang ke Johor dan pulang semula ke Kuala Lumpur.

Bas dipandu Zakeer terbabit dalam kemalangan di KM 137.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara yang mengorbankan 14 nyawa, termasuk anak bongsunya, Nur Natasha Zahara, berusia setahun.

Isteri Zakeer, Miyarseh Kemat (warga Indonesia) cedera parah dan dirawat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.

Dalam laporan semalam, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mengumumkan akan mengeluarkan laporan awal mengenai kemalangan itu dalam tempoh dua minggu lagi.

Di Muar, laporan terbaru menyatakan Miyarseh akan dipindahkan ke Hospital Besar Pulau Pinang malam ini atas permintaan keluarga suaminya.

Adik bongsu Zakeer, Zahirah Zubir, berkata keluarganya mengambil keputusan memindahkan kakak iparnya ke hospital Pulau Pinang kerana mereka tidak mempunyai ahli keluarga di Muar untuk melihat keadaan Miyarseh.

"Lagipun, dua anak arwah iaitu Nur Zafeerah, 2, dan Nur Cahaya Zulaikha, 4, masih tidak dapat memahami situasi yang menimpa ibu bapa mereka dan sering mencari-cari ayah dan ibu terutama awal pagi," katanya.

Zahirah, 21, dan abang sulungnya, Zameer, 35, tiba di HPSF hari ini, dan sudah menguruskan ambulans untuk membawa kakak ipar mereka balik ke Pulau Pinang malam ini.

Miyarseh patah kaki kiri, cedera di kelopak mata dengan kesan 13 jahitan serta luka dan lebam di belakang badan.

Mengulas mengenai bayaran kos perubatan Miyarseh di HPSF, Zahirah berkata syarikat bas berjanji menanggung perbelanjaan namun meminta pihak keluarga mendahulukan wang sendiri.

Mereka sekeluarga juga berharap agar orang ramai menghentikan komen negatif terhadap arwah abangnya di laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 7:08 PM