Wanita yang dipercayai terbabit dalam kes mendera pembantu rumah di Damansara, dalam kejadian semalam, ditahan malam tadi. FOTO Norizuan Shamsuddin.
Wanita yang dipercayai terbabit dalam kes mendera pembantu rumah di Damansara, dalam kejadian semalam, ditahan malam tadi. FOTO Norizuan Shamsuddin.
Norizuan Shamsuddin

Petaling Jaya: Polis menahan wanita dipercayai majikan yang mendera pembantu rumah warga Indonesia yang ditemui terbaring dalam keadaan cedera di Damansara, di sini, malam tadi.

Difahamkan, suspek wanita berusia 43 tahun itu dipercayai bergelar 'Datin' ditahan apabila tampil ke Balai Polis Damansara, di sini, kira-kira jam 12 tengah malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan Mohd Ali Thamby ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek terbabit.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya bagi proses permohonan reman, hari ini.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian ini akan dilakukan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari semalam, mangsa iaitu seorang remaja wanita berusia 19 tahun, ditemui seorang pengawal keselamatan di Jalan PJU 7/30, yang kemudian memaklumkan kepada seorang wanita yang juga penduduk di kawasan berhampiran.

Mangsa kemudian dibawa wanita terbabit ke klinik berhampiran sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara, jam 1.44 tengahari, hari sama.

Difahamkan, mangsa kini menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat kecederaan di kedua-dua mata, belakang dan dalaman selepas mendakwa dipukul majikannya menggunakan alatan tajam serta tumpul.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 4:27 PM