Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: SME Corporation Malaysia (SME Corp Malaysia) berharap unjuran ekonomi yang berlaku pada separuh kedua tahun depan membantu untuk terus meningkatkan pertumbuhan sumbangan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) memandangkan perkembangan sektor itu seiring dengan pergerakan ekonomi negara.

Perkara itu dapat dilihat menerusi pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak lima peratus pada tahun lalu mendorong peningkatan sumbangan sektor PKS sebanyak 6.1 peratus. Pada tahun ini, KDNK negara diunjur berkembang antara empat hingga 4.5 peratus yang membantu meningkatkan jangkaan sumbangan PKS kepada ekonomi antara lima hingga 5.5 peratus.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid berkata, prestasi sumbangan PKS kepada KDNK dilihat positif memandangkan ia sentiasa berada pada tahap melebihi pencapaian KDNK negara sekitar satu peratus setahun.

Beliau berkata, ia juga menunjukkan kemapanan sektor PKS yang mampu berdepan dengan cabaran ekonomi semasa.

“Sebagai pihak penyelaras kepada industri PKS, kita sentiasa memantau kesan persekitaran ekonomi semasa kepada pemain industri dan mengambil langkah tertentu bagi memastikan mereka tidak terlalu terkesan dengan keadaan mencabar yang berlaku sepanjang tahun ini.

“Malah, kita juga menggesa kepada PKS tempatan untuk terus mengintai peluang pasaran luar memandangkan dengan pelaksanaan integrasi ekonomi Asean oleh kerajaan dapat membantu memudahkan pemain industri tempatan meluaskan akses pasaran mereka di pasaran asing,” katanya selepas merasmikan SME.Business.TV di sini, semalam.

SME Business.TV adalah siaran berbentuk pendidikan hiburan yang boleh diakses pengguna secara atas talian dan ia memaparkan pelbagai topik perniagaan berkaitan PKS dan usahawan.

Mohamed berkata, pengenalan SME.Business.TV menjadi pelengkap dan menyokong inspirasi serta usaha kerajaan bagi mempromosikan pembangunan PKS.

Katanya, pihaknya berharap PKS tempatan akan menjadikan SME.Business.TV sebagai platform untuk memampankan pertumbuhan perniagaan dan meluaskannya sehingga memberi kesan positif kepada sumbangan ekonomi Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 7:27 AM