ORANG ramai mengambil air bersih dari lori tangkiberikutan berlaku gangguan bekalan air di sekitar Taman Melawati. FOTO Abdullah Yusof
ORANG ramai mengambil air bersih dari lori tangkiberikutan berlaku gangguan bekalan air di sekitar Taman Melawati. FOTO Abdullah Yusof
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan zon 1 yang terganggu akibat kerja penyelenggaraan pencawang masuk utama Bukit Badong, Hulu Selangor berada pada tahap 72 peratus sehingga 4 petang tadi.

Menurut Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), pemulihan secara berjadual itu bermula 9 pagi, setelah Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 beroperasi semula sepenuhnya tengah malam tadi.

Status pemulihan di kawasan zon 1 adalah 70 peratus di Kuala Lumpur, Petaling (78 peratus), Gombak (91 peratus), Klang (14 peratus), Kuala Langat (91 peratus) dan 80 peratus di Kuala Selangor.

"Segala usaha sedang giat dijalankan untuk memulihkan bekalan air ke kawasan-kawasan di Zon 1 yang belum pulih sepenuhnya," menurut kenyataan itu.

Penghantaran bantuan bekalan air melalui lori tangki air ke kawasan yang terjejas di zon 1 juga sedang dilaksanakan.

Bagaimanapun, pengguna yang masih belum mendapat bekalan air boleh memohon bantuan dengan menghantar SMS ke 15300 dengan menaip: TANKER Nama & Alamat.

Menurut kenyataan itu, pengguna dinasihat menggunakan air secara berhemat untuk mempercepatkan pemulihan bekalan air di semua kawasan terlibat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 12:05 AM