Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Kuala Kangsar: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzudin Shah menitahkan setiap masjid di negeri itu untuk mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat esok bagi memohon pertolongan daripada Allah agar melindungi rakyat daripada musibah berikutan kejadian banjir yang melanda beberapa negeri.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan kepada media hari ini, baginda turut menitahkan agar semua acara sambutan Tahun Baru 2015 anjuran kerajaan negeri atau mana-mana agensi di negeri itu dibatalkan.

Sultan Nazrin turut bertitah agar Yayasan Sultan Azlan Shah mengurniakan dua pasang pakaian dan kasut sekolah kepada setiap pelajar yang menjadi mangsa banjir di negeri itu.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin hadir di bangunan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) di sini, kira-kira jam 10 pagi tadi bagi mendengar taklimat mengenai situasi banjir yang melanda negeri itu.

Baginda kemudian berkenan turun padang meninjau sendiri kawasan dilanda banjir sekitar negeri itu sebaik selesai mendengar taklimat berkenaan diiringi Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 1:39 PM