Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Kerajaan melihat penyusutan nilai ringgit bukan mencerminkan prestasi sebenar ekonomi negara secara keseluruhan dan tidak bercadang untuk memperkenalkan sebarang pakej rangsangan bagi mengembalikan nilai matawang negara pada paras positif.

Sebelum ini dilaporkan Amerika Syarikat (AS) menaikkan Sistem Rezab Persekutuan AS (FED) pada 16 Disember lalu menyebabkan nilai ringgit didagangkan rendah di awal pembukaannya 4.4660/4690 berbanding Dolar Amerika daripada 4.4440/4480 penutup dagangan pada 15 Disember 2015.

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan terus melihat kepada asas pembentukan ekonomi secara keseluruhan dan ia membantu dalam mengembalikan nilai ringgit pada tahap yang positif.

Beliau berkata, antara perkara yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan bagi berdepan dengan keadaan ekonomi mencabar adalah tidak mengawal pergerakan modal atau menambat matawang yang memberi gambaran kepada pelabur mengenai keterbukaan ekonomi Malaysia.

“Dalam isu ini, kita perlu fokus melaksanakan sesuatu dengan persekitaran politik yang stabil dan kerajaan juga menyediakan polisi perniagaan yang baik kepada pelabur bagi membolehkan mereka terus datang ke Malaysia untuk menyuntik modal perniagaan ke negara ini.

“Malah, orang ramai tidak perlu panik dengan penyusutan nilai ringgit akibat kenaikan FED baru-baru ini kerana ia tidak melambangkan prestasi ekonomi sebenar Malaysia. Tambahan, ia adalah perkara biasa berlaku dalam persekitaran krisis ekonomi sebelum ini,” katanya selepas menghadiri majlis menandatangani kerjasama (MoU) antara AmanahRaya Berhad dan Kenedix Inc di sini, semalam.

Ketika ditanya jangkaan FED akan terus dinaikkan pada tahun depan, katanya, pihaknya tidak boleh menolak spekulasi berkenaan terus berlaku terutama dengan pelantikan Donald Trump sebagai Presiden AS.

Katanya, Malaysia kini perlu mengambil langkah tunggu dan lihat seperti mana pendirian negara-negara lain memandangkan masih samar mengenai agenda dan polisi ekonomi AS yang bakal diperkenalkan Trump.

Sementara itu, ditanya mengenai nilai wajar bagi mata wang tempatan, Johari berkata, ia bergantung kepada paras awal dagangannya.

“Jika ia bermula pada 3.30, anda mahukan ia diniagakan pada 3.30 dan jika bermula pada 3.80, anda juga mahukannya berada pada paras sedemikian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 7:22 AM