NAZIRAN gemar berfesyen hasil koleksi rekaan inspirasi daripada dirinya.
NAZIRAN gemar berfesyen hasil koleksi rekaan inspirasi daripada dirinya.
Siti Zarinah Sahib


Menyedari kepelbagaian material dan harga yang sangat berpatutan ketika kunjungan ke Jakarta, Indonesia, Suhaida Naziran memberanikan diri mengeluarkan jenama sendiri. Apatah lagi dia seorang yang gemar berfesyen dan sering mengikuti perkembangan fesyen semasa.

Bermula dengan pakaian tradisional baju kurung yang dibeli siap di negara jiran itu, tidak sangka semua pakaian mendapat perhatian ramai. Justeru, wanita ini cuba menghasilkan koleksi sendiri dengan pakaian sedia dipakai seperti blaus dan palazo bagi memberi pilihan kepada pelanggan berkerjaya mencuba rekaan dihasilkan.

“Saya merasakan penghasilan busana kurung atau kebaya hanya menjurus kepada golongan tertentu. Selepas menerima maklum balas ramai, saya mencuba membeli kain dan menghantar kepada tukang jahit bagi menghasilkan blaus dan palazo berdasarkan rekaan sendiri,” katanya yang menjalankan operasi butik di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Menggunakan material satin berkualiti tinggi, jelas Suhaida, fabrik ini tidak mudah berkedut dan sejuk disebabkan ia agak tebal dan tidak terlalu berkilat berbanding satin biasa. Ini kerana dia sangat cerewet dalam pemilihan fabrik dan hanya mengambil kain yang benar-benar sesuai dengan cuaca panas dan lembap di Malaysia.

Selain satin, dia turut menggunakan como crepe yang lebih lembut dan menjadi pilihan kebanyakan pelanggan. Bagi menambah keanggunan si pemakai, Suhaida meletakkan perincian renda dan manik supaya ia kekal menawan apabila digayakan ke sebarang acara.

Kebanyakan busana dihasilkannya adalah inspirasi dirinya sendiri yang gemar bergaya dengan blaus sederhana dan tidak terlalu ketat. Untuk penggayaan ringkas, dia meletakkan tali pinggang supaya kelihatan ramping.

“Blaus ini sesuai digayakan semua peringkat usia kerana dihasilkan dengan rona pastel dan potongan yang boleh digayakan Muslimah,” katanya.

Selain blaus jenama Precious Lurve, ia turut mengeluarkan gaun dan jubah serta busana pengantin. Apa yang ditampilkan tidak sama seperti pereka yang sudah berpengalaman, tetapi disebabkan ramai bertanya dia akhirnya mengeluarkan pakaian pengantin mengikut tempahan.

Menggunakan media sosial seperti Facebook dan Instagram sebagai latar promosi, bagi Suhaida dalam keadaan ekonomi yang kurang stabil ini, ia sentiasa memenuhi cita rasa pelanggan serta banyak menyertai gerai pameran bagi memperkenalkan jenama Precious Lurve kepada orang ramai.

Untuk maklumat lanjut layari Instagram @precious_lurve untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai koleksi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 5:03 AM