TAMAN Keluarga London Street jadi hab menarik untuk seisi keluarga.
TAMAN Keluarga London Street jadi hab menarik untuk seisi keluarga.

Taman Keluarga London Street atau juga dikenali sebagai 'The Parenthood' di Sunway Pyramid, Kuala Lumpur, baru-baru ini membuka pintunya kepada khalayak ramai selepas setahun penubuhannya di Sunway Putra Mall.

The Parenthood meraih reputasi sebagai hab sehenti keibubapaan yang menyediakan pelbagai aktiviti pendidikan hiburan dan bersantai untuk seisi keluarga.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Leroy Lee berkata, keibubapaan adalah sesuatu yang mencabar terutama apabila digabungkan dengan gaya hidup yang sibuk, namun meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak sememangnya penting untuk perkembangan dan kegembiraan mereka.

Pada pembukaan lokasi baru di Sunway Pyramid, Leroy menyatakan, pusat itu menyediakan pelbagai kemudahan untuk memenuhi keperluan keluarga.

“Ini akan menjadi suatu tempat yang luar biasa di mana ibu bapa dan anak mampu mencipta jalinan keluarga yang istimewa,” katanya.

The Parenthood terletak di tingkat satu Sunway Pyramid West yang mempunyai saiz seluas 26,000 kaki persegi. Ia menjanjikan tarikan baru dan lebih besar dengan bas dua tingkat London yang asli, pancuran air dan pondok telefon yang dibawakan dari London untuk menyediakan pengunjung dengan pengalaman tulen di London Street.

Rangkaian produk dan perkhidmatan yang menyeluruh diperluaskan untuk memenuhi keperluan kedua-dua ibu bapa dan anak-anak. Taman keluarga berkenaan menempatkan 45 peruncit yang menyediakan pelbagai produk penjagaan bayi, alat mainan, pakaian, alat tulis, bahan pendidikan dan banyak lagi.

The Parenthood juga menyediakan pelanggannya kemudahan di bawah satu bumbung dari taman permainan tertutup menarik untuk si kecil, tempat menjamu selera, pusat kecergasan bagi dewasa dan kanak-kanak hinggalah salun kecantikan wajah, spa keluarga, pusat kesihatan dan kesejahteraan.

Taman keluarga itu akan terus meluaskan produk, perkhidmatan dan pengalaman pelanggan menerusi lima unsur utama iaitu membeli-belah, prasekolah, relaks dan santai, pendidikan dan bermain serta menjamu selera.

The Parenthood di Sunway Pyramid juga yang pertama dengan penyertaan prasekolah antarabangsa di taman keluarga mereka.

Prasekolah The Parenthood bertujuan memperkenalkan kanak-kanak kepada pembelajaran formal dengan membina asas pengetahuan dan kemahiran dalam persekitaran yang menggalakkan keyakinan diri, cintakan pembelajaran dan meraikan keunikan setiap kanak-kanak.

Prasekolah The Parenthood juga mengikuti Kurikulum Peringkat Asas Tahun Awal (EYFS) yang dihasilkan secara teliti untuk memenuhi keperluan khusus kanak-kanak kecil dengan tema dan aktiviti perkembangan sewajarnya bagi merangsang rasa ingin tahu, minat dan semangat seseorang kanak-kanak.

Pada majlis sama, The Parenthood turut melancarkan Mrs Parenthood 2016, pertandingan ratu cantik CSR untuk memanja dan menghargai golongan ibu dengan belaian, sesi gimnasium, rawatan dan latihan kecantikan serta ubah suai menyeluruh secara percuma dan tanpa had.

Kempen Mengembalikan Semula Kecantikan itu bertujuan membantu ibu di Malaysia menampilkan keyakinan, kecantikan dan imej diri yang positif.

Hadiah menarik dan wang tunai sehingga RM10,000 akan diberikan kepada pemenang. Seramai 12 finalis tampil bergaya dengan berkongsi realiti, isu dan kepentingan mempunyai cita-cita peribadi apabila bergelar ibu bapa.

Sementara itu, Pengarah Malaysian Child Resource Institute merangkap pendidik keibubapaan, Ruth Liew turut berkongsi pandangannya mengenai peranan ibu bapa hari ini.

Beliau menasihatkan golongan ibu untuk mengimbangi urusan keluarga, kerja dan anak-anak dan pada masa sama, pentingnya untuk mengekalkan identiti, imej diri dan perkembangan peribadi.

“Dalam masyarakat hari ini, tuntutan ibu bapa melakukan perkara yang lebih baik dan hebat untuk anak-anak mereka semakin tinggi. Untuk menjalankan tugas yang baik sebagai ibu bapa, ibu mestilah mempunyai keyakinan dan imej yang positif.

“Amat penting bagi golongan ibu untuk menjaga diri sendiri sebelum mereka mampu melakukan tugas keibubapaan yang baik,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai taman keluarga The Parenthood London Street, boleh layari laman web http://theparenthood.com.my/ - Yusliza Yakimir Abd Talib

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 5:55 AM