BERNAMA

Kuala Lumpur: Berang kad tersekat pada mesin ATM, seorang juruteknik pendingin hawa didenda RM1,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret akibat menumbuk dan menendang sebuah mesin ATM di Bandar Menjalara Kepong.

Dalam kejadian di Bank Hong Leong, Jalan Medan Putra 1, Bandar Menjalara, Kepong, pada 2.30 pagi, 12 Disember lalu, Siaw Chong Fei, 37, yang berang kerana kad debitnya tersekat dalam mesin pengeluaran wang itu, lalu menumbuk dan menendang mesin berkenaan hingga skrinnya pecah.

Majistret Umzarul An-Nur Umar menjatuhkan hukuman itu selepas dia mengaku bersalah melakukan khianat terhadap skrin mesin ATM.

Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-keduanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu tidak dikenakan hukuman penjara dengan alasan perlu bekerja kerana menanggung banyak hutang.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 7:24 PM