JOSHUA (kanan) melepaskan tumbukan padu menewaskan Eric.
JOSHUA (kanan) melepaskan tumbukan padu menewaskan Eric.
AFP

Manchester: Anthony Joshua membuka laluan untuk pertarungan menentang Wladimir Klitschko tahun depan selepas menang mudah ke atas Eric Molina dengan kemenangan pusingan ketiga semalam.

Petinju Britain itu berjaya mempertahankan takhta heavyweight dunia IBF buat kali kedua dengan menampilkan satu lagi aksi tumbukan hebat untuk meraih kemenangan ke-18 di Manchester Arena.

Joshua memaksa perlawanan itu dihentikan ketika aksi memasuki minit kedua dan dua saat pada pusingan ketiga apabila menumbangkan pencabarnya dari Amerika Syarikat itu dengan tumbukan tangan kanan.

Klitschko, bekas petinju nombor satu dunia yang tewas tiga gelaran dengan kiraan mata kepada rakan senegara Joshua, Tyson Fury tahun lalu turut berada di tepi gelanggang untuk menyaksikan perlawanan itu.

Klitschko yang akan berusia 41 tahun pada Mac, dijadualkan bertemu Joshua di Stadium Wembley, London pada 29 April dengan petinju Ukraine itu dijangka menjadi pencabar yang lebih bertenaga berbanding Molina.

“Kemenangan ini tidak akan berakhir di sini,” kata Joshua. “Klitschko mahukan tali pinggangnya balik dan semoga petinju terbaik menang. Saya hanya akan bimbang mengenai diri saya dan latihan.”

Klitschko kemudian masuk ke gelanggang dan promoter Eddie Hearn mengesahkan perlawanan Joshua selepas ini adalah menentang petinju Ukraine itu.

“Anda mahukan perlawanan besar dan anda akan mendapatnya,” kata Klitschko kepada penonton.

Joshua, pemenang emas Olimpik 2012, bermula dengan berhati-hati menentang Molina dan mengambil masa untuk melepaskan tumbukan pada dua pusingan awal sebelum mengasak hebat ketika awal pusingan ketiga. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 5:03 AM