IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
Mohd Rizal Abdullah


Miri: Ular sawa enam meter yang terperangkap di dalam tandas rumah ditangkap anggota bomba di Krokop, Miridi, di sini.

Ular berkenaan berjaya ditarik, pada 4.30 petang semalam, melalui saluran kumbahan selepas dua hari terperangkap di dalam tandas itu.

Ketua operasi Balai Bomba dan Penyelamat Miri Julie Omar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 4 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba kemudiannya dikerahkan ke lokasi dan mendapati ular berkenaan berada di dalam mangkuk tandas rumah berkenaan.

"Bagaimanapun, ia sukar ditarik mengakibatkan pihak bomba terpaksa mengeluarkan reptilia itu melalui saluran kumbahan," katanya.

Difahamkan, kehadiran ular itu disedari pada, Rabu lalu, oleh penghuni rumah terbabit ketika mahu menggunakan tandas.

Bagaimanapun, katanya, ular berkenaan menyelinap masuk ke dalam saluran kumbahan mengakibatkan ia sukar ditangkap.

Namun, katanya, penghuni rumah terbabit menghubungi pihak bomba apabila mendapati ular berkenaan sekali lagi muncul di dalam mangkuk tandas, petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2016 @ 4:36 PM