SETIAP hari kira-kira 200 wanita pergi ke sempadan Colombia untuk menjual rambut mereka.
SETIAP hari kira-kira 200 wanita pergi ke sempadan Colombia untuk menjual rambut mereka.
KEMELESETAN ekonomi Venezuela yang semakin meruncing memaksa penduduk mendapatkan barang dari negara jiran.
KEMELESETAN ekonomi Venezuela yang semakin meruncing memaksa penduduk mendapatkan barang dari negara jiran.
RAMAI wanita Venezuela mengorbankan rambut mereka untuk membeli makanan dan barang keperluan harian.
RAMAI wanita Venezuela mengorbankan rambut mereka untuk membeli makanan dan barang keperluan harian.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Benarlah kata orang, wanita umpama lilin yang sanggup membakar diri demi orang tersayang. Wanita di Venezuela contohnya rela mengorbankan rambut yang menjadi mahkota kebanggaan mereka bagi mendapatkan barang keperluan harian.

Penduduk di negara yang dihimpit krisis itu semakin terdesak. Ini menyebabkan ramai wanita sanggup merentas sempadan mengunjungi La Parada, pekan kecil yang terletak di Colombia dan menjual rambut mereka untuk membeli makanan, lampin bayi dan ubat.

Trend yang bermula sejak beberapa minggu lalu menjadi satu lagi petanda krisis di negara yang kaya dengan minyak itu semakin meruncing. Kemerosotan ekonomi dan inflasi menyebabkan berjuta-juta rakyatnya mula mengikat perut dan melupakan keperluan mendapatkan rawatan perubatan yang semakin melonjak harganya.

Berpuluh-puluh orang tengah yang dikenali dengan panggilan ‘dragger’ berdiri di atas jambatan yang menghubungkan San Antonio, Venezuela dengan La Parada di Colombia sambil melaungkan ‘Kami beli rambut!’

Menurut maklumat daripada lima orang tengah, setiap hari dianggarkan 200 wanita menyambut panggilan itu di salah satu daripada tujuh ‘kedai bergerak’ di situ. Rambut itu kemudiannya dijual untuk dijadikan ‘rambut penyambung’ di Cali, bandar di barat Colombia.

Celina Gonzales, 45, antara wanita yang rela beratur selama sejam untuk menjual rambutnya. Rambutnya yang berwarna coklat perang melepasi dada dibeli pada harga 60,000 peso Colombia atau RM89 - setara dengan pendapatan minimum di negaranya. Jumlah itu membolehkannya membeli pelbagai keperluan keluarga terutama makanan.

“Saya menghidap arthritis (sakit sendi) dan perlukan ubat. Memang jumlah ini tidak banyak tetapi sekurang-kurangnya saya boleh beli ubat tahan sakit,” kata Gonzales yang merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan keluarganya.

Kerajaan berhaluan kiri Venezuela menyalahkan ahli perniagaan yang dikatakan mensabotaj ekonomi. Bagaimanapun, permintaan wartawan Reuters untuk mendapatkan maklum balas daripada Kementerian Maklumat tidak dilayan.

Tahun ini sudah masuk tahun ketiga Venezuela dilanda kemelesetan ekonomi dan penduduk semakin berputus asa untuk mendapatkan bantuan subsidi makanan. Malangnya, tanpa subsidi, harga makanan terlalu mahal. Contohnya harga satu beg beras boleh mencecah 10 peratus daripada pendapatan purata penduduk Venezuela.

Kini ramai penduduk mula makan bubur kanji dan sebahagiannya pula tidak lagi malu menyelongkar tong sampah untuk mencari sisa makanan. Jalan terakhir yang dirasakan munasabah ialah menjual rambut di sempadan bagi meneruskan hidup.

Ini menjadikan perniagaan rambut di La Parada semakin berkembang.

“Saya juga boleh memotong rambut. Cakap saja banyak mana atau panjang mana yang hendak dipotong, saya boleh buat. Kalau ada yang mahu saya tocangkan rambut mereka, juga boleh,” kata Jenifer.

Nino, 31, juga bertindak sebagai dragger. Dia ditemui di salun rambutnya yang terletak di simpang jalan, diapit laluan jalan kaki dan kedai tayar.

“Kebanyakan wanita datang ke sini membawa anak yang masih kecil. Biasanya selepas rambut dipotong, mereka akan terus ke kedai runcit untuk membeli barang makanan,” kata Nino.

Dalam suasana perniagaan yang dijalankan secara tidak rasmi itu, biasanya perkhidmatan yang diberikan tidak seperti diharapkan. Ada wanita mengadu rambut mereka tidak dipotong dengan baik. Malah ada yang menyesal mendapatkan khidmat pemotongan rambut di situ.

Tidak kurang juga yang berfikir dua kali dan akhirnya membatalkan hasrat menjual rambut mereka. Bagaimanapun, bagi wanita yang benar-benar susah, mereka tiada pilihan lain.

Walaupun tahu rambut mereka mungkin dipotong senget atau berakhir dengan gaya rambut yang menyedihkan, tetapi semuanya terpaksa ditelan demi kelangsungan hidup keluarga dan anak-anak.

Maribel contohnya, wanita miskin dari Tachira sanggup pergi ke Colombia selepas abangnya memberitahu mengenai peluang mendapatkan wang dengan menjual rambut.

“Saya datang ke sini kerana di rumah sudah tiada makanan langsung,” katanya sambil merungut kerana rambutnya dipotong hingga terlalu pendek dan nipis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 1:23 PM