Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Seorang remaja lelaki warga Singapura berusia 15 tahun mengaku tidak bersalah atas dakwaan menyamar sebagai cucu Sultan Johor di Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini, hari ini.

Remaja lelaki itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah premis menjual pakaian Angsana Mall, Tampoi, Johor Bahru pada jam 4.30 petang pada 6 Ogos 2016.

Dia didakwa menerusi penyamaran sebagai cucu kepada Sultan Johor bagi mempercayai dirinya sebagai seorang daripada kerabat Diraja Sultan Johor.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara hingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekiranya disabit kesalahan.

Majistret Salina Omar menetapkan 5 Januari sebagai tarikh sebutan semula.

Tertuduh dibenar untuk diikat jamin RM4,000 dengan dua penjamin warga negara ini.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Ashraff Mohd Diah.

Mengikut fakta kes, tertuduh pada awalnya melakukan penyamaran menerusi laman sosial Instagram dengan mendedahkan identitinya sebagai cucu Sultan Johor hingga ia tersebar di kalangan pengikutnya.

Perkara itu menarik perhatian pengurusan pusat membeli-belah itu dan mendapati identiti remaja itu meragukan sebelum melaporkan kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 12:42 PM