Paris: Grand Prix Perancis kembali dalam kalendar Formula Satu pada 2018 selepas tidak diadakan selama sedekad di litar Paul Ricard, Le Castellet dekat Marseille, umum penganjur kelmarin.

“Grand Prix Perancis membuat kemunculan semula,” kata presiden wilayah Provence-Alpes-Cotes d’Azur, Christian Estrosi (gambar).

Estrosi membuat pengumuman itu di Automobile Club de France yang membantu menganjurkan Grand Prix pertama pada 1906.

Tarikh dicadangkan bagi perlumbaan baharu Perancis itu adalah hujung Ogos atau awal September 2018, antara tarikh biasa bagi perlumbaan GP Belgium dan Itali.

Pemandu Perancis, Romain Grosjean menyambut baik berita itu.

“Terlalu gembira bagi semua penyokong Perancis yang akan mempunyai Grand Prix sendiri dan boleh datang menyokong kami,” tulis pemandu Haas itu dalam Twitter.

Felipe Massa dari Ferrari menang perlumbaan terakhir F1 di Perancis pada 2008 di Magny-Cours, apabila negeri Perancis itu dan pihak berkuasa tempatan mengalami kekurangan bajet.

Litar Paul Ricard pernah menganjurkan 14 perlumbaan F1 secara keseluruhan antara 1971 dan 1990 apabila juara dunia empat kali dari Perancis, Alain Prost mencipta kejayaan demi kejayaan.

“Kami kehilangan GP ini pada 1990, ia kembali ke wilayah ini dan kami berhak menganjurkannya,” ujar Estrosi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 8:38 AM