Doha: Penyandang juara Piala Itali, Napoli menundukkan Juventus 6-5 menerusi penentuan penalti untuk meraih Piala Super kedua mereka awal pagi semalam pada final dramatik di Doha yang menyaksikan permainan berakhir 2-2 selepas masa tambahan.

Perlawanan itu yang dianjak ke Disember bagi memberi laluan pembabitan Napoli pada play-off Liga Juara-Juara Ogos lalu, berlangsung hingga ke masa tambahan selepas Gonzalo Higuain menyamakan kedudukan bagi memadam gol pembukaan Carlos Tevez bagi juara Serie A itu.

Dua pemain Argentina itu masing-masing mencatat gol kedua pada masa tambahan, memaksa perlawanan itu ditentukan menerusi sepakan penalti dramatik.

Juventus mensia-siakan tiga peluang mendahului ketika penalti sebelum kecundang apabila percubaan Simone Padoin diselamatkan penjaga gol Rafael.

“Kami beraksi perlawanan mengagumkan dan ia lebih manis apabila kami menewaskan pasukan seperti Juventus,” ujar jurulatih Napoli, Rafael Benitez selepas merangkul kejuaraan ke-12 dalam kariernya.

“Kami terlalu gembira dan mahu mendedikasikan kemenangan ini kepada penyokong yang hadir ke sini dan juga yang berada di Naples.

“Semua pemain beraksi dengan bagus, Higuain amat tajam di bahagian serangan, Rafael pula menyempurnakan tugasnya dengan baik.”

Jurulatih Juve, Massimiliano Allegri berkata: “Keputusan ini memalukan. Kami mempamerkan corak permainan terbuka dan tidak membawa pulang trofi sekalipun berdepan tiga peluang terbaik.”

Ia kemenangan pertama Napoli pada Piala Super selepas 1990. Ketika itu pasukan yang diperkuatkan legenda dunia Diego Maradona membelasah Juventus 5-1. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 7:50 AM