KARAMJIT (baju ungu) bergambar bersama penganjur dan pasukannya  pada Kejohanan Rali Malaysia (MRC) 2016 di Seri Iskandar. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
KARAMJIT (baju ungu) bergambar bersama penganjur dan pasukannya pada Kejohanan Rali Malaysia (MRC) 2016 di Seri Iskandar. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Seri Iskandar: Pelumba rali handalan negara Karamjit Singh, menepati ramalan apabila memenangi pusingan akhir di Perak sekaligus menjuari Kejohanan Rali Malaysia (MRC) 2016 bagi kategori 2WD di sini, hari ini.

Kejohanan sukan permotoran lasak yang dianjurkan Wheel Sport Management Sdn Bhd itu berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Timbalan Pengarah Program merangkap Timbalan Kerani Krusus, Zaidi Tajudin berkata, kejohanan itu adalah acara tahunan sejak ia diperkenalkan pada 2002.

Katanya, perlumbaan sejauh 120 kilometer itu melibatkan sembilan peringkat di tiga trek utama di ladang Gelong Gajah di Beruas dan Bukit Kota di Gelong Pepuyu.

"Pada kejohanan akhir ini penyertaan membabitkan 14 pasukan dan dua daripada itu adalah dari Jepun dengan kategori utama dua (2WD) dan empat roda (4WD).

"Kita masih menggunakan konsep terbuka seperti sebelum ini iaitu membawa rali kepada penduduk setempat bagi membolehkan mereka melihat dengan lebih dekat sukan lasak ini tanpa bayaran yang dikenakan," katanya.

Menurutnya, perancangan tahun hadapan pihaknya berhasrat untuk menambah kategori bagi membuka peluang jentera pacuan empat roda seperti Toyota Hilux dan Nissan Navara menyertai rali.

"Setakat ini ia masih dalam perancangan dan penelitian, namun sudah ada permintaan untuk kategori ini dan dijangka ia dapat menarik penyertaan daripada luar negara seperti Thailand," katanya.

Sementara itu, Karamjit melahirkan rasa bersyukurnya memenangi perlumbaan biarpun persediaan dibuat pada saat terakhir, namun berbekal semangat dan pengalaman membantunya bergelar juara.

Pada kejohanan akhir itu, Karamjit yang memandu Proton Wira bersama pembantunya Maruthi Ariokiasamy merebut gelaran juara dalam kelas 1,800cc ke bawah (P11) dengan mencatatkan masa satu jam 40 minit.

Kedua milik Mohd Azad Jasmi dan pembantu pemandu Hazwan Fauzi yang memandu Proton Satria mencatat satu jam 50 minit, manakala ketiga Suhaimi Nasro Ali dan Mohd Faizal Tuah (Proton Satria, satu jam 51 minit).

Bagi kategori 4WD, juara milik Dinie Nazmie Abd Rahman dan Jamsri dengan masa satu jam 57 minit, kedua milik M Ikhsan M Husni dan M Arif Iskandar (dua jam dan tiga minit), manakala ketiga Takeshi Azuma dan Masako Sakane (dua jam dan 12 minit).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2016 @ 7:05 PM