MASIH ramai penduduk Myanmar hidup terbuang dan jadi pelarian.
MASIH ramai penduduk Myanmar hidup terbuang dan jadi pelarian.
KEPERLUAN penjagaan kesihatan pelarian Myanmar jadi keutamaan Cynthia.
KEPERLUAN penjagaan kesihatan pelarian Myanmar jadi keutamaan Cynthia.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Apabila Cynthia Maung melihat penderitaan rakan pelarian yang bersama-samanya meninggalkan Myanmar ketika bermulanya tuntutan demokrasi pada lewat 1980-an dan ramai rakyatnya mencari perlindungan di Thailand, dia tahu ada perkara yang perlu dilakukan secepat mungkin.

Cynthia, yang bertugas sebagai doktor, mengambil keputusan mendapatkan kerjasama pakar perubatan lain yang turut berada di kem pelarian di barat laut Thailand untuk membantunya membuka klinik di Mae Sot.

Kliniknya yang terletak di pekan kecil di sempadan Myanmar-Thailand mula beroperasi pada 1988 dengan empat katil. Kini selepas 28 tahun, kliniknya berubah wajah. Ia dilengkapi pelbagai kemudahan untuk memberikan pelbagai perkhidmatan daripada rawatan kepada pesakit di dalam wad, pembedahan, penjagaan trauma, pergigian, vaksin hinggalah pencegahan HIV.

Beroperasi sepenuhnya, Klinik Mae Tao di sempadan itu memberi rawatan kepada lebih 75,000 orang setiap tahun.

“Jumlah pesakit yang datang ke klinik ini bertambah setiap tahun,” kata Cynthia yang menerima anugerah antarabangsa baru-baru ini atas sumbangan kemanusiaannya yang tidak mengenal penat.

“Kami juga melatih petugas kesihatan dan memberikan perkhidmatan sokongan kepada pesakit yang memerlukan akses penjagaan kesihatan berhampiran tempat tinggal mereka,” katanya kepada wartawan Thomson Reuters Foundation.

“Namun, cabaran paling besar ialah mengendalikan pesakit yang mengalami trauma kerana terpaksa melarikan diri dari kampung halaman dan kebimbangan mereka untuk mendapatkan makanan, penjagaan kesihatan dan pekerjaan,” sambungnya yang menerima anugerah Wira Kemanusiaan AidEx Tahunan di Brussels.

Cynthia, dari etnik Karen berkata, kini dia bimbang dengan nasib penduduk apabila askar mula memasuki kawasan perkampungan di barat Myanmar yang memaksa beribu-ribu Muslim Rohingya menyelamatkan diri dan berhijrah ke Bangladesh. Banyak nyawa terkorban dalam usaha mereka melarikan diri daripada keganasan.

Sesetengah masyarakat Rohingya ditembak mati ketika cuba menyeberang Sungai Naaf yang memisahkan Myanmar dan Bangladesh. Manakala yang selamat tiba menaiki bot pula tidak dibenarkan mendarat oleh pengawal keselamatan di sempadan Bangladesh menyebabkan mereka ‘terperangkap’ di air, kata penduduk.

Insiden pertumpahan darah itu dianggap yang paling teruk sejak pertempuran antara kaum di Rakhine pada 2012 dan menyebabkan ramai terbunuh.

“Pertempuran di sepanjang sempadan masih berterusan. Akibatnya, beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal dan oleh kerana negara ini masih di bawah penguasaan tentera, tidak banyak perubahan yang berlaku. Penduduk dari etnik minoriti masih berasa tidak aman dan bimbang mengenai masa depan mereka,” sambungnya.

Mae Sot yang terletak di Thailand kini menjadi rumah kepada beribu-ribu pelarian Myanmar yang mencari perlindungan daripada konflik dan keganasan. Ia juga menjadi kampung kepada berpuluh ribu pekerja migran, ramai antaranya tidak mempunyai kemahiran dan terpaksa berhempas tulang demi meneruskan kehidupan.

“Selagi kami diperlukan, kami akan terus berada di sini. Selagi ada pelarian dan pekerja migran memerlukan perlindungan, penjagaan perubatan dan sokongan, kami akan terus berkhidmat,” kata Cynthia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 1:50 PM