PERWAKILAN Pergerakan Puteri UMNO menyanyikan lagu UMNO sempena perasmian Mesyuarat ketiga-tiga  sayap parti di Dewan Merdeka PWTC. FOTO Asyraf Hamzah
PERWAKILAN Pergerakan Puteri UMNO menyanyikan lagu UMNO sempena perasmian Mesyuarat ketiga-tiga sayap parti di Dewan Merdeka PWTC. FOTO Asyraf Hamzah
Mohd Nasif Badruddin


Kuala Lumpur: Puteri UMNO mencadangkan supaya ditubuhkan Majlis Peguam Syarie bagi meningkatkan profesionalisme dan integriti peguam syarie.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sebenarnya banyak penambahbaikan dilakukan oleh Mahkamah Syariah sejak 2001.

Begitupun katanya, pemerkasaan Mahkamah Syariah tidak diikuti dengan usaha untuk meningkatkan profesionalisme dan integriti dalam kalangan peguam syarie.

“Pada hal profesionalisme dan integriti dalam kalangan peguam syarie akan turut menyumbang proses di Mahkamah Syariah berjalan lancar dan cepat.

“Justeru, Puteri ingin mencadangkan supaya Majlis Peguam Syarie ditubuhkan bagi meningkatkan profesionalisme dan integriti peguam syarie yang sekali gus dapat menyelesaikan masalah kelewatan proses perceraian,” katanya dalam ucapan dasar sempena Persidangan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 1:50 PM